Berita Utama, Rencana

Ramadhan – Masa Untuk Berubah

1 24

Oleh: Muhammad Amiruddin Husain (Bendahari PEMBINA Bangi)

Kajian menunjukkan faktor persekitaran banyak mempengaruhi perkembangan diri seseorang individu. Mengikut teori ekologi Bronfenbrenner, sistem yang paling dekat kepada perkembangan individu ialah mikrosistem. Mikrosistem merujuk kepada faktor persekitaran yang merangkumi keluarga, sekolah, rakan sebaya, kawasan kejiranan, faktor agama, dan budaya.

Bulan Ramadhan pula membawa suatu suasana persekitaran yang amat unik sekali. Lihatlah, kehidupan yang berjalan sehari-hari selama 11 bulan serta-merta diadaptasikan dengan bulan Ramadhan, suatu suasana yang penuh dengan fastabiqul khairat (berlumba-lumba kepada kebaikan), dengan puasanya, amal ibadatnya, tarawikhnya, sedekahnya, dan lain-lain.

Justeru itu, bulan Ramadhan merupakan bulan yang amat sesuai sekali untuk seseorang individu melakukan perubahan. Inilah masanya untuk berubah, masa untuk perbaiki hubungan dengan Allah serta hubungan sesama manusia.

Menyentuh berkaitan hubungan dengan Allah, mari hayati firman Allah yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (surah al-baqarah: 183)

Takwa dari segi bahasanya takut kepada Allah manakala dari segi istilahnya lebih luas daripada itu. Puasa itu sendiri mendidik seseorang individu agar bertakwa kepada Allah. Seseorang individu boleh sahaja makan dan minum tatkala tiada sesiapa melihatnya, tetapi kerana sifat takwalah seseorang individu itu tetap dengan puasanya.

Sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadis qudsi, Rasulullah saw bersabda:
“Firman Allah Ta’ala: Tiap-tiap amal anak Adam untuknya kecuali puasa, maka sesungguhnya puasa itu untukKu, dan Aku akan memberi balasan dengannya. Dan puasa itu perisai, maka apabila seorang kamu berpuasa janganlah ia memaki-maki, mencarut-carut dan janganlah dia menghiruk-pikukkan; maka jika dia dimaki oleh seorang atau hendak dibunuhnya, hendaklah ia katakan: aku ini berpuasa.” (Hadith riwayat Bukhari & Muslim)

Namun, sejauh mana sifat takwa tersebut bergantung kepada bagaimana seseorang itu melaksanakan ibadah puasanya. Imam al-Ghazali, di dalam bukunya ihya al-Ulumuddin, membahagikan puasa itu kepada tiga tingkatan.

Pertama, puasa al-umum. Puasa ini tingkatan yang paling rendah, hanya sekadar menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum.

Kedua, puasa al-khusus. Puasa ini tingkatan kedua, mereka menahan pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki, dan seluruh anggota badan daripada melakukan dosa. Mereka menjaga akhlak dan melakukan perkara-perkara sunat bagi menambahkan kualiti puasanya.

Ketiga, puasa khusus al-khusus. Puasa ini tingkatan yang tertinggi, mereka bukan sahaja menjaga segala perkara yang membatalkan puasa tetapi perkara yang boleh membatalkan pahala puasa. Hati mereka sentiasa mengingati Allah.
Hubungan dengan Allah di bulan puasa ini tidak terhad dengan puasa sahaja, malah Allah telah menjanjikan ganjaran sebagai peneguhan kepada hamba-hambaNya yang beribadat di bulan Ramadhan. Selain di sana ada satu malam yang bersamaan seribu bulan, Allah juga menjanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda sepanjang bulan Ramadhan.

Menyentuh pula hubungan sesama manusia, bulan Ramadhan menghidupkan suasana sosial bermasyarakat. Jika sebelum ini seseorang individu pergi dan balik kerja sehari-hari, tidak kenal jirannya sendiri, inilah masanya untuk mula menghayati tuntutan berjiran. Solat tarawikh dan moreh memberikan peluang kepada umat Islam menjalin dan mengeratkan hubungan sesama muslim terutama di kawasan kejiranan sendiri.

Di satu sudut yang lain pula, umat Islam berlumba-lumba menderma, bersedekah, dan menginfaqkan harta kepada masjid, orang-orang miskin, dan mereka yang susah. Inilah masanya untuk banyak memanjatkan kesyukuran dan menyedari di sana ada yang memerlukan.

Selain itu, mentaliti masyarakat kini akan saling bermaaf-maafan seawal sebelum tibanya Ramadhan lagi. Walaupun tiada sumber yang sahih, namun ini merupakan satu amalan yang baik. Selain dapat melapangkan dada sesama muslim, amalan ini dapat mengukuhkan lagi kehidupan bermasyarakat. Mungkin Ramadhan ini boleh menjadi titik tolak kepada kesatuan Islam khususnya bangsa Melayu di Malaysia.

Ramadhan akan tetap berlalu dan akhirnya pergi membawa bersama suasana unik yang hanya setahun sekali dapat dirasai. Namun, biarlah sebulan yang kita lalui ini menjadi bekalan untuk sebelas bulan yang mendatang. Biarlah Ramadhan yang akan kita rindui ini membawa kelainan dalam kehidupan seterusnya yang akan kita tempuh tanpanya.

Sementara Ramadhan masih di sini, tunggu apa lagi? Ramadhan – masa untuk berubah.

Related Posts

1 Comment

  1. epalmerah September 2, 2010 at 9:47 am - 

    amalan saling ziarah dan menghidangkan juadah berbuka kpd jiran pn patut disemai sejak Ramadhan.

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 

Jom Sertai PEMBINA

Artikel terbaru

  • 4 Mac Hilangnya Seorang Wira Islam, Palestin

    TANGGAL 4 Mac 1193 umat Islam telah kehilangan seorang pemerintah, ketua angkatan tentera yang telah melakar sejarah besar buat umat Islam. Salahuddin Al Ayubi nama yang tidak asing bagi umat Islam yang terkenal sebagai Sang Penakluk. Kata-katanya pernah dirakamkan sebagai tunjang kepada kebangkitan semangat umat Islam untuk berjihad. Umurnya mencecah 14 tahun, beliau telah menjadi…

  • Jangan Kau Lupa Peristiwa Hitam 3 Mac 1924!

    Sudah 94 tahun berlalu peristiwa hitam yang memberi luka yang dalam buat umat Islam. Detik bersejarah ini telah merakam pengakhiran bagi sistem khalifah yang sudah berdiri teguh sejah sekian lama. Sultan Abdul Hamid II merupakan khalifah yang kuat menahan empayar Turki yang hendak dirakus oleh dunia Eropah ketika itu telahpun digulingkan. Dalang yang mengkucar-kacirkan Empayar…

  • Budaya Pengasingan Kelas Antara Pelajar: Satu Pandangan

    BANGI, 9 Rabiulakhir 1439H, Khamis – Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) menyokong hasrat Kementerian Pendidikan untuk menghentikan budaya pengasingan kelas antara pelajar bermula 2019. Presiden Pembina, Eqwan Roslan, bagaimanapun berharap keberkesanan pelaksanaan langkah itu untuk jangka masa panjang juga perlu diberi perhatian. Beliau tidak dinafikan usaha untuk mengelakkan jurang antara murid merupakan salah satu inisiatif yang…

Ini Wilayah PEMBINA

Ikuti Pembinabangi

Anda semua dijemput untuk melawat laman facebook, twitter, flickr dan youtube pembinabangi untuk mengikuti perkembangan terbaru dan lebih lanjut maklumat tentang kami.

isikan alamat emel anda untuk sentiasa mengikuti perkembangan Pembina Bangi