Kesihatan

LGBT: Benarkah Ia Warisan (Bahagian 1)

0 68

lgbt

Dewasa ini, pengamal dan pejuang isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) semakin lantang menekan pelbagai pihak, dari kalangan awam, sehinggalah kepada penguasa, malah tidak terkecuali pengamal perubatan, agar mengiktiraf LGBT sebagai sesuatu yang

  • “nature” – bersifat semulajadi dan bukannya “nurture” – asuhan atau pengaruh persekitaran.
  • merupakan “sexual orientation” – yang mendefinisi seseorang, bukannya “sexual preference” – yang dihajati seseorang.

Benarkah begitu?

Tulisan ini bukan bertujuan meminggirkan atau memangsakan golongan yang telah terjebak di dalam gaya hidup yang dicela oleh agama Islam ini, sebaliknya ingin membuktikan bahawa gejala LGBT adalah sesuatu yang bersifat asuhan atau pengaruh negatif yang tidak dibendung, dan bukannya sesuatu yang diwarisi atau ditentukan oleh genetik. Dengan menyedari hakikat ini, semua pihak dapat terus mencari jalan dan memberi keyakinan bahawa mereka yang telah terjebak, dapat dirawati  dan usaha berterusan perlu dilakukan bagi membendung dan mencegah gaya hidup kaum Nabi Lut yang telah secara terang-terangan dikutuk Allah melalui firmannya:

“Dan (Kami juga telah mengutus) Luth (kepada kaumnya). (Ingatlah ) tatkala dia berkata kepada mereka: “Mengapa kamu mengerjakan perbuatan faahisyah itu, yang belum pernah dikerjakan oleh seorang pun (di dunia ini) sebelummu?”. Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melampiaskan nafsumu (kepada mereka), bukan kepada wanita, malah kamu ini adalah kaum yang melampaui batas. Jawab kaumnya tidak lain hanya mengatakan: “Usirlah mereka (Luth dan para pengikutnya) dari kotamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berpura-pura mensucikan diri .” (QS. Al A’raaf, 7: 80-82)

SEJARAH PERUBATAN HOMOSEKSUALITI

Adakah benar dari sudut perubatan, LGBT merupakan hasil pengaruh genetik?

Bidang perubatan dalam tahun 1952 menyenaraikan homoseksualiti sebagai gangguan sosiopathi personaliti di dalam Manual Diagnostik dan Statistik Penyakit Mental atau Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM). Dalam tahun 1968, di dalam DSM edisi ke 2 (DSM II), homoseksualiti dipindahkan ke kategori Seks Songsang (Sexual Deviation). Malahan homoseksual adalah di tempat teratas di dalam kategori ini dituruti oleh keabnormalan seksualiti lain sepertifetishism, pedophilia dan sebagainya.1

Namun, banyak laporan menyetujui bahawa  desakan kuat para pengamal homoseksualiti, dan lobi ahli politik dan pengamal perubatan yang mengamalkan gaya hidup ini, telah mendorong Persatuan Psikiatri Amerika mengeluarkan homoseksualiti daripada dikategorikan sebagai penyakit mental pada tahun 1973.1

Ini dilaporkan oleh Dr Ronald Bayer dalam bukunya bertajuk Homosexuality and American Psychiatry: The Politics of Diagnosis yang menyimpulkan keputusan tersebut adalah tekanan politik yang hebat dan bukannya dari hasil kajian saintifik yang objektif.2

BUKTI KAJIAN HOMOSEKSUALITI

Sehingga kini, tiada bukti kukuh yang menyokong bahawa LGBT adalah sesuatu yang diwarisi dan tidak dapat diubah. Berbagai kajian telah dilakukan untuk cuba membuktikan bahawa orientasi seks ini berpunca dari struktur anatomi dan fisiologi manusia.

Saiz otak. Sebagai contoh, pengkaji Simon LeVay pada tahun 1991, melaporkan bahawa terdapat perbezaan saiz struktur otak di antara pengamal heteroseksual dan homoseksual, dimana bedahsiasat mayat menunjukkan saiz otak pengamal homoseksual lebih kecil dari pengamal heteroseksual, menyerupai struktur otak wanita.3

Ini menggambarkan orientasi seks mereka seolah-olah sesuatu yang telah ditetapkan sejak dari azali. Walaubagaimanapun, kajian ini mendapat kritikan hebat kerana sampel kajian bagi pengamal homoseksual adalah mereka yang telah meninggal dunia akibat penyakit AIDS. Penyakits AIDS telah diketahui menyebabkan kadar hormon testosteron lebih rendah dari biasa dan virus AIDS sendiri dalam kajian yang lain telah dibuktikan menyumbang kepada perubahan saiz struktur otak.

Hormon. Selain daripada itu, homoseksualiti juga dikatakan berpunca dari ketidakseimbangan hormon semasa di dalam rahim lagi tetapi kajian-kajian ini juga dikritik sebagai kajian yang lemah kerana mereka hanya mengukur panjang tulang fetus sebagai proksi atau gambaran kepada paras hormon dalam badan dan bukannya menggunakan hormon itu sendiri. .4-5

Genetik. LGBT juga cuba dibuktikan berasaskan pengaruh genetik dalam kajian yang menggunakan kembar. Seperti kajian-kajian di atas, metodologi kajian ini dipersoalkan kerana terdapat ralat yang serius, kerana pertamanya, ada kajian yang mengiklankan secara terbuka sesiapa yang ingin menjadi sampel kajian mereka, menyebabkan hanya mereka yang telah ada kecenderungan ke arah gaya hidup seksualiti sahaja yang melibatkan diri. Ini bermakna, sampel kajian mereka tidak rawak. .6Keduanya, kajian menggunakan pasangan kembar dalam memastikan genetik adalah faktor, tidak lari dari pengaruh asuhan kerana kedua-dua kembar lazimnya tinggal bersama dalam satu unit keluarga. .7

Pembuktian genetik sebagai penyelesaian kepada sesuatu masalah perubatan dipandang serius oleh pakar-pakar genetik sendiri. Mereka memberi amaran, jika kecenderungan kajian terlampau menjurus ke arah genetik, ianya hanya akan meminggirkan atau meremehkan faktor yang benar-benar menjadi penyebab seperti faktor pengamalan (behaviour) dan faktor alam sekitar kita. Apa tidaknya, sudah ada kajian yang mengatakan pembenci amalan homoseksual atau homophobia, juga diwarisi secara genetik ! .8

Tindakan pejuang hak asasi yang cuba menggunakan genetik dalam masalah rumit dan berunsurkan diskriminasi, bukan sahaja tidak beretika dari sudut perubatan, malah menjadi pedang dua mata, yang berupaya menghiris mangsa dan pemangsa, kenyataan amaran ini dikeluarkan oleh  the Council for Responsible Genetic (CRG) yang merupakan sebuah badan bukan kerajaan berpengkalan di Massachuset, Amerika Syarikat yang memantau kajian-kajian bioteknologi.

………Bersambung di bahagian 2

 

Profesor Madya Dr Rafidah Hanim binti Mokhtar
Pensyarah Fisiologi
Dan Ketua Jabatan Sains Perubatan I
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
No tel: 03-24892450
Email: 013-9322277

Catatan
Penulis juga adalah merupakan Naib Presiden II I-Medik iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) kepada para Pengamal Perubatan Muslim.

REFERENCES

  1. Spitzer, R L. 1973. A proposal about homosexuality and the APA nomenclature: Homosexuality as an irregular form of sexual behavior and sexual orientation disturbance as a psychiatric disorder.American J. Psychiatry 130: 1214-1216.
  2. Bayer, R. 1987. Homosexuality and American Psychiatry: The Politics of Diagnosis. Princeton: Princeton University Press.
  3. LeVay, S., A difference in hypothalamic structure between homosexual and heterosexual men.Science 253:1034-1037 (1991).
  4. Manning, J.T., D. Scutt et al.  1998. The ratio of the 2nd to 4th digit length: a predictor of sperm numbers and concentrations of testosterone, luteinizing hormone and human oestrogen. Human Reproduction, 13:3000-3004
  5. Williams, T.J., M.E. Pepitone, at al. 2000. Finger-length ratio and sexual orientation. Nature 404:455-456.
  6. Bailey, J.M., and R.C. Pillard. 1991. A genetic study of male sexual orientation. Arch. Gen. Psychiatry 48:1089-1096.
  7. McConaghy, N., D. Hadzi-Pavlovic, C. Stevens, V. Manicavasagar, N. Buhrich, and U. Vollmer-Conna. 2006. Fraternal birth order and ratio of heterosexual/homosexual feelings in women and men. J. Homosex. 51:161-74.
  8. Eaves, L. J., and P. K. Hatemi. 2008. Transmission of Attitudes Toward Abortion and Gay Rights: Effects of Genes, Social Learning and Mate Selection. Behav. Genet. 38:247–256.
  9. Beyrer C, Baral SD, van Griensven F, et al. Global epidemiology of HIV infection in men who have sex with men. Lancet 2012.published online July 20. http://dx.doi.org/10.1016/S0140-6736(12)60821-6.
  10. Grulich A, Zablotska I. Commentary: probability of HIV transmission through anal intercourse. Int J Epidemiol 2010; 39: 1064-1065

 

Sumber: http://imedik.org/2012/10/lgbt-benarkah-ia-warisan-bahagian-1/

Related Posts

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 

Jom Sertai PEMBINA

Artikel terbaru

  • Remaja dan Rokok?

    Isnin lepas, hatiku tergerak untuk singgah makan pada waktu tengah hari di salah sebuah restoran mamak di Sri Serdang. Kebetulan pada waktu itu juga beberapa orang adik-adik yang bersekolah pada sesi pagi singgah makan di restoran yang sama. Tampak pada gaya mereka akan kekemasan rambut yang disikat rapi, baju kemejanya kekal tuck in, dan tali…

  • SUDUT PANDANG MAHASISWA : HUDUD DAN RUU AKTA 355; DI MANAKAH KEADILANNYA?

    Baru-baru ini Malaysia digemparkan dengan isu Rang Undang-undang (RUU) Akta 355 yang diusulkan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Parlimen tempoh hari sekali gus menimbulkan beberapa respon yang baik mahupun buruk daripada pelbagai lapisan masyarakat malah isu tersebut turut membangkitkan isu hudud semula. Maka kami sebagai mahasiswa muslim juga tidak ketinggalan dalam mengambil…

  • Normalisasi Penyumbang Kepada Penyuburan Islam di UNITEN

    Perkataan ‘normal’ membawa maksud suatu keadaan atau perkara yang menjadi kebiasaan. Melalui definisi ini dapat kita ketahui bahawa proses normalisasi merupakan satu proses membudayakan atau menjadikan sesuatu perkara itu seolah-olah sudah pun sebati dalam kehidupan kita. Secara amnya, normalisasi terbahagi kepada dua pecahan iaitu normalisasi posittif dan negatif. Namun, untuk menentukan sama ada normalisasi yang…

Ini Wilayah PEMBINA

Ikuti Pembinabangi

Anda semua dijemput untuk melawat laman facebook, twitter, flickr dan youtube pembinabangi untuk mengikuti perkembangan terbaru dan lebih lanjut maklumat tentang kami.

isikan alamat emel anda untuk sentiasa mengikuti perkembangan Pembina Bangi