Aktiviti, Bicara Pimpinan, Komuniti, Makluman

KONWANIS- Muliamu Kerana Islam

0 158

konwanis

‘MUSLIMAH’. Satu perkataan yang cukup digeruni oleh pemiliknya sendiri. Bukan sekadar itu, ada juga yang menafikan, menyangkal dan ada juga yang memastikan dengan bersungguh-sungguh agar mereka tidak dilabel sebagai ‘golongan’ itu. ‘Golongan’ itu? Apa benar mereka itu suatu golongan? Atau benar mereka adalah suatu golongan ‘eksklusif’ seperti yang digembar-gemburkan? Tariklah nafas dalam-dalam dan lepaskan ia perlahan-lahan. Kepada Allah kami berserah.

Ketahuilah, hal ini merupakan salah faham atau satu persepsi yang terus menghantui pemikiran MUSLIMAH kini (atau dengan erti kata yang lebih mudah difahami adalah WANITA MUSLIM kini) dengan tujuan yang satu, iaitu menjauhkan wanita muslim itu daripada identiti sebenar mereka. Bilamana disebut muslimah, sudah tergambar di benak fikiran, mereka ini adalah golongan yang melabuhkan tudungnya, membaca al-quran setiap hari, bukan sahaja membacanya tetapi bacaannya masyaallah dengan tajwid yang hebat, sopan santun, solat fardhu dan solat sunatnya terjaga, sentiasa berusaha menghidupkan sunnah dalam kehidupannya sehari-hari, dan yang paling utama, mereka ini adalah wanita-wanita yang memikul dan menyampaikan dakwah. Subhanallah, sungguh hebat huraian kepada ‘golongan muslimah’ ini.

Namun, tanpa mereka sedari, mereka sedang menghurai ciri-ciri wanita muslim yang sebenarnya. Ciri-ciri yang bukan hanya ada pada sesetengah wanita muslim, tetapi ianya menjadi kewajipan untuk setiap wanita yang beragama islam itu untuk memilikinya. Jika belum lengkap, maka jalan kepadanya sentiasa terbuka selagi hayat dikandung badan. Oleh itu, tidak hairanlah jika golongan ini digelar sebagai golongan ekslusif, kerana ternyata eksklusifnya mereka di mata Allah seperti firmanNya di dalam surah Al-Hujurat ayat 13: Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.

Maka sesungguhnya islam itu datang membawa rahmat dan cahaya kebaikan kepada seluruh alam. Datangnya Islam mengangkat tinggi kedudukan seseorang wanita dan meletakkannya pada satu kedudukan yang cukup mulia.’ Ianya suatu ungkapan yang tidak akan pernah berubah sehingga hari istimewa, di mana dunia seisinya akan kembali kepada Al-Khaliq. Suatu sejarah yang tertulis indah di dalam al-quran serta kitab-kitab sirah yang lainnya. Namun, ianya hanya menjadi satu pengetahuan yang umum tanpa dinilai maksud sebenar dan tersirat di sebalik kata-kata itu.

Muslimah, tanyakan pada diri kalian, adakah kita mencerminkan perkara itu? Tepuk dada tanyalah iman. Jika jauh di sudut hati itu mengatakan ‘YA’, maka balaslah ia dengan kata alhamdulillah. Jika jawapan yang dirasa adalah ‘TIDAK’, maka istighfarlah kita, kemudian susunlah kata dan tindakan untuk menukarkannya kepada ‘YA’. Jika jauh di dalam hati itu terdetik kata ‘MUNGKIN’, maka istighfarlah kita sebanyak-banyaknya. Duduklah seketika, fikirkan jawapan yang lebih jelas dari itu. Mungkin saja kita sudah tidak mengenal identiti islam pada diri seorang muslimah yang sebenar. Muhasabahlah membina iman.

Jadilah kita orang yang bijaksana seperti yang diperkatakan Rasulullah s.a.w:

“Orang yang bijaksana adalah orang yang memuhasabah dirinya dan beramal untuk kehidupan akhiratnya. Manakala orang yang cuai adalah orang yang membiarkan dirinya  mengikuti hawa nafsunya dan berangan Allah mengampuninya.”(Riwayat Ahmad dan Termizi)

Malah, tanpa rasa malu, ada juga golongan yang meminta-minta hak keistimewaan mereka dipertinggi melebihi hak Allah. Bezanya kita. Jauh di bumi Mesir, Palestin, Syria sana, wanitanya meminta-minta untuk dilepaskan ke medan jihad fisabilillah. Merayu-rayu kepada bapanya, meminta-minta keizinan suaminya, membelai-belai kemahuan anak-anaknya semata-mata mengharapkan hasratnya untuk turut serta mempertahankan islam ditunaikan. Namun kita disini, wanitanya melaung-laung menuntut kebebasan, mencanang-canang kononnya islam menindas mereka, meminta-minta itu dan ini yang secara jelasnya tidak masuk akal bagi mereka yang benar-benar memahami agamanya.  Angkuhnya manusia, sedang hak Allah belum tertunai, hak diri diminta-minta tanpa segan silu.

Bezanya jahiliyah kini dan dahulu. Jika dahulunya, wanita itu dipergunakan dan diperkotak-katikkan oleh masyarakatnya yang jahil, jahiliyyah kini lebih dasyat, dengan sukarelanya wanita mempergunakan dan memperkotak-katikkan diri sendiri. Berapa banyak berita didedahkan tentang sindiket pelacuran, masalah pengambilan dadah, buang anak dan dengan begitu selambanya mempamerkan bahagian tubuh yang tidak sepatutnya didedahkan kepada khalayak umum? Berapa banyak anak luar nikah yang dilahirkan sehingga kini? Sesungguhnya Allah lebih mengetahui.

Muslimah, setiap kurniaan Allah kepada hamba-hambaNya adalah sebaik-baik anugerah daripadaNya kepada kita. Jangan dipersiakan ia hanya kerana kejahilan yang tidak dirawat, sedangkan disana terbuka jalan yang luas untuk kita terus mengenaliNya, memahami agamaNya dan menjadi muslimah terhebat disisiNya. Jangan pernah putus asa mendalami agamaNya. Tidak ada istilah ‘sudah terlambat’ dalam usaha kita memperbaiki diri. Sesungguhnya setiap kepayahan itu Allah akan mengiranya sebagai amalan dalam usaha kita mendekatkan diri kepadaNya.

Isikan masamu dengan sebaik-baik perkara. Isikan jiwamu dengan sebaik-baik pengisian. Isikan mindamu dengan sebaik-baik pengetahuan. Jangan kita mempersiakan usia muda dengan perkara-perkara yang membuatkan hadirnya kekesalan pada usia tua kelak. Dengan rasa kasih dan sayang, saya menyeru seluruh beliawanis, wanita, muslimah di luar sana untuk turut menyertai kami di PEMBINA. Ayuh! Fahami Islam untuk memperkukuh jati diri. Kenali Islam untuk mengenali identiti. Muslimah solehah nadi kekuatan ummah! Allahuakbar!

 

***Dengan sepenuh hatinya, saya menjemput semua muslimah di luar sana untuk menghadiri Konvensyen Wanita Islam (KONWANIS) pada 26 April 2014. Kita duduk dan fahami isu wanita dan realitinya kini. Jika bukan kita, siapa lagi? Jika bukan sekarang, bila lagi?

 

Mariam Malek
JK Pembangunan Sumber Manusia

PEMBINA Bangi

Related Posts

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 

Jom Sertai PEMBINA

Artikel terbaru

  • Remaja dan Rokok?

    Isnin lepas, hatiku tergerak untuk singgah makan pada waktu tengah hari di salah sebuah restoran mamak di Sri Serdang. Kebetulan pada waktu itu juga beberapa orang adik-adik yang bersekolah pada sesi pagi singgah makan di restoran yang sama. Tampak pada gaya mereka akan kekemasan rambut yang disikat rapi, baju kemejanya kekal tuck in, dan tali…

  • SUDUT PANDANG MAHASISWA : HUDUD DAN RUU AKTA 355; DI MANAKAH KEADILANNYA?

    Baru-baru ini Malaysia digemparkan dengan isu Rang Undang-undang (RUU) Akta 355 yang diusulkan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Parlimen tempoh hari sekali gus menimbulkan beberapa respon yang baik mahupun buruk daripada pelbagai lapisan masyarakat malah isu tersebut turut membangkitkan isu hudud semula. Maka kami sebagai mahasiswa muslim juga tidak ketinggalan dalam mengambil…

  • Normalisasi Penyumbang Kepada Penyuburan Islam di UNITEN

    Perkataan ‘normal’ membawa maksud suatu keadaan atau perkara yang menjadi kebiasaan. Melalui definisi ini dapat kita ketahui bahawa proses normalisasi merupakan satu proses membudayakan atau menjadikan sesuatu perkara itu seolah-olah sudah pun sebati dalam kehidupan kita. Secara amnya, normalisasi terbahagi kepada dua pecahan iaitu normalisasi posittif dan negatif. Namun, untuk menentukan sama ada normalisasi yang…

Ini Wilayah PEMBINA

Ikuti Pembinabangi

Anda semua dijemput untuk melawat laman facebook, twitter, flickr dan youtube pembinabangi untuk mengikuti perkembangan terbaru dan lebih lanjut maklumat tentang kami.

isikan alamat emel anda untuk sentiasa mengikuti perkembangan Pembina Bangi