Belia dan Masyarakat, Rencana

Travelog Kembara Tarbawi ‘Jalan-jalan Melaka’

0 160

Alhamdulillah diatas keizinan dari-Nya, telah terlaksana sebuah jawlah (kembara) ke sebuah negeri yang mempunyai hubungan rapat dengan sejarah tanah air kita; negeri Melaka pada 24 Ogos yang lalu. Biarpun coretan ini sedikit lewat untuk dikongsikan, namun penulis berharap ia dapat memberi manfaat buat pembaca serta menjadi ukiran kekal dalam ingatan para peserta jawlah yang lain.

Unt4Bermula jam 8.00 pagi, kami bergerak menuju tempat persinggahan pertama jawlah yakni di Masjid Selat, Melaka. Setibanya di masjid yang dirasmikan pembukaannya pada 2006 yang lalu ini, kami mengambil peluang untuk menunaikan solat dhuha dan kemudiannya berkumpul di tepian lautan Selat Melaka untuk berta’aruf. Menariknya, selain memperkenalkan diri masing-masing, setiap peserta diminta berkongsi kepada peserta yang lain apakah perasaan yang dialami apabila melihat laut. Pelbagai jawapan unik dan kreatif telah dikongsikan tetapi kesimpulan yang mendalam telah diberikan oleh saudara Zul Amzar, mahasiswa Pengajian Asasi Kejuruteraan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dimana apabila kita melihat laut, dua perkara perlu kita ambil penghayatan. Perkara pertama ialah lautan adalah lambang kurniaan Allah SWT yang luas dan tidak pernah putus manakala seterusnya ialah sebagai hamba kepada yang Maha Luas Pemberian, maka kita perlu ‘dream big’ (bercita-cita besar) apabila memohon sesuatu kepada Allah kerana batasan kurniaan adalah suatu kemustahilan bagi-Nya. Hal ini bertepatan dengan firman Allah dari surah al-Kahfi ayat 109 yang bermaksud,

“Katakanlah (wahai Muhammad): Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.”   

Sebelum meninggalkan masjid yang indah ini dan menuju ke destinasi seterusnya, kami akhiri sesi ta’aruf dengan rakaman video #bulankemarahanummah (rujuk link: https://www.facebook.com/video.php?v=521977147936391) demi menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi kami kepada perjuangan Briged Izzudin al-Qassam, pembebasan negeri Gaza serta usaha pemboikotan ekonomi negara haram Israel.

Unt5

Seterusnya kami tiba di tengah-tengah Bandar Melaka yang merupakan salah satu tapak warisan dunia yang diiktiraf oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) pada tahun 2008. Tujuan utama kami disini adalah untuk melawat Muzium Belia Malaysia tetapi sementara menanti muzium tersebut dibuka, kami bersiar-siar sebentar mendekati bangunan-bangunan tinggalan sejarah di sekitarnya seperti Stadhyus, tembok meriam bersebelahan laluan Sungai Melaka, dan Gereja Christ Melaka. Biarpun kini bangunan-bangunan ini sekadar cerita lama yang dikekalkan, namun sebagai belia muslim seharusnya kita sedar bagaimana penjajahan yang sudah lebih separuh abad berlalu ini  masih mengkesani jiwa sesetengah di kalangan kita. Penulis tidak omong kosong, biarpun secara fizikalnya kita sudah bebas daripada kolonisasi namun dari segi akhlak, pemikiran, bahkan mungkin aqidah sekalipun masih diheret kehendak serta pemikiran duniawi ciptaan Barat. Ayuh bermuhasabah sebaik menghayati firman Allah ini yang dipetik daripada sebahagian surah al-Baqarah ayat 120,

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka…”

Seperkara lagi yang boleh difikirkan, mengapa Bandar Melaka ini mendapat pengiktirafan oleh UNESCO; dimana dengan pengiktirafan ini setiap bangunan-bangunan yang berada dalam kawasan ini haruslah dikekalkan rupa bentuknya lalu ia menjadi tarikan para pelancong luar negara pada kebiasaannya? Penulis tidak mahu ulas panjang tetapi kenyataan yang boleh penulis kongsikan disini; tingkatkan syi’ar Islam di bumi Malaysia ini kerana itu jati diri tanah air kita. Kita perlu bangkitkan identiti sebenar.

untPada sebelah petangnya pula, rombongan jawlah kami telah menuju ke Alor Gajah untuk menziarahi salah seorang pendakwah dan tenaga pengajar salah sebuah sekolah. Beliau bernama Ustaz Zaidi Mohd Jalil dan kini memegang amanah sebagai Naib Yang di-Pertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Melaka. Kehadiran kami telah disambut mesra biarpun pada paginya beliau sibuk memenuhi jemputan majlis raya di beberapa tempat di sekitar negeri. Disamping hidangan nasi lemak yang enak disediakan untuk kami, Ustaz Zaidi tidak henti-henti menyampaikan taujihat kepada kami agar sentiasa kekal setia dalam jalan dakwah serta tarbiyah ini. Salah satu ungkapan menarik apabila salah seorang daripada kami bertanyakan hal cara terbaik dalam menjadi pendakwah, beliau menjawab;

“Lihat bulan purnama. Bulan purnama tak pernah timbul di malam indah besertakan bunting atau banner bertulis “lihatlah semua, aku cantik indah menawan” tetapi dengan sifat zahirnya tersendiri menjadi kaguman serta buah mulut dan fikiran para penyair dalam mencari inspirasi.”

Subhanallah! Moga Allah pelihara beliau sekeluarga agar usaha dakwah khususnya sekitar Melaka terus mekar, inshaAllah.

Waktu maghrib menghampiri.

Kami berkeputusan untuk menghadiri sambutan Aidilfitri bertempat di Surau an-Najihin, Batu Berendam. Alhamdulillah kami merasai kelainan pada sambutan perayaan di surau ini kerana selain disediakan jamuan, pihak surau juga telah bekerjasama dengan pihak Aman Palestin (AP) cawangan Melaka untuk slot tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Suhaib Ar-Rumi. Ustaz Suhaib yang merupakan aktivis ISMA Melaka juga telah menyentuh pelbagai isu khususnya berkaitan Perang Al-Asfu Ma’kul (Dedaun Hancur) yang ketika itu masih berlangsung di Gaza. Majlis sebegini membuktikan keceriaan Aidilfitri di Malaysia sebenarnya tidak melupuskan ingatan rakyat khususnya muslim terhadap kegawatan yang berlaku di Gaza dan usaha penerangan, pemboikotan, serta pengumpulan sumbangan tetap berterusan. Sikap mulia ini haruslah dikekalkan sehingga benar-benar kemerdekaan tanah Palestin yang kita impikan selama ini akan tercapai.

Lewat malam sebelum bertolak menuju ke UNITEN, kami singgah berehat di Restoran Jejantas Ayer Keroh dan dalam keadaan serba santai sambil mengisi perut, saudara Ikmal Ubaidullah Kamarudin juga menghidangkan kepada para peserta santapan minda serta rohani. Tazkirah ringkas yang mengkisahkan siapakah Imam Hasan al-Banna, pengasas gerakan dakwah Ikhwanul Muslimin telah benar-benar menginsafkan kami. Pelbagai mutiara ibrah dapat dikutip dari kisah benar yang disampaikan beliau dan ia menjadi pengisian terbaik untuk kami akhiri jadual jawlah yang ternyata ia bukan sekadar makan angin biasa bahkan sarat dengan pengisian jiwa juga.

Sekian sahaja perkongsian dari penulis. Moga para pembaca mendapat sedikit manfaat darinya.

 

Mohamad Fathil Aqil Abdullah
Presiden PEMBINA UNITEN

 

Related Posts

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 

Jom Sertai PEMBINA

Artikel terbaru

  • Remaja dan Rokok?

    Isnin lepas, hatiku tergerak untuk singgah makan pada waktu tengah hari di salah sebuah restoran mamak di Sri Serdang. Kebetulan pada waktu itu juga beberapa orang adik-adik yang bersekolah pada sesi pagi singgah makan di restoran yang sama. Tampak pada gaya mereka akan kekemasan rambut yang disikat rapi, baju kemejanya kekal tuck in, dan tali…

  • SUDUT PANDANG MAHASISWA : HUDUD DAN RUU AKTA 355; DI MANAKAH KEADILANNYA?

    Baru-baru ini Malaysia digemparkan dengan isu Rang Undang-undang (RUU) Akta 355 yang diusulkan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Parlimen tempoh hari sekali gus menimbulkan beberapa respon yang baik mahupun buruk daripada pelbagai lapisan masyarakat malah isu tersebut turut membangkitkan isu hudud semula. Maka kami sebagai mahasiswa muslim juga tidak ketinggalan dalam mengambil…

  • Normalisasi Penyumbang Kepada Penyuburan Islam di UNITEN

    Perkataan ‘normal’ membawa maksud suatu keadaan atau perkara yang menjadi kebiasaan. Melalui definisi ini dapat kita ketahui bahawa proses normalisasi merupakan satu proses membudayakan atau menjadikan sesuatu perkara itu seolah-olah sudah pun sebati dalam kehidupan kita. Secara amnya, normalisasi terbahagi kepada dua pecahan iaitu normalisasi posittif dan negatif. Namun, untuk menentukan sama ada normalisasi yang…

Ini Wilayah PEMBINA

Ikuti Pembinabangi

Anda semua dijemput untuk melawat laman facebook, twitter, flickr dan youtube pembinabangi untuk mengikuti perkembangan terbaru dan lebih lanjut maklumat tentang kami.

isikan alamat emel anda untuk sentiasa mengikuti perkembangan Pembina Bangi