Berita Utama, Bicara Pimpinan, Rencana

ISRAK MI’RAJ: RELA ATAU TERPAKSA?

0 34

Saban tahun, kisah benar berkenaan penghulu segala nabi yakni Nabi Muhammad SAW yang telah diperjalankan Allah SWT dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa kemudian dinaikkan hingga di Sidratul Muntaha dan akhirnya kembali ke muka bumi dalam masa semalaman sahaja menjadi modal paling laku dalam ceramah-ceramah agama terutama apabila menjelang akhir bulan Rejab. Kisah yang tidak masuk akal kecuali bagi mereka yang beriman ini amat dekat dengan diri kita bahkan budaya memperingati Israk dan Mi’raj merupakan satu inisiatif yang baik kerana sememangkan seseorang muslim itu perlu sentiasa mencari iktibar dan diingatkan dengan pengajaran dalam setiap ayat yang difirmankan Allah SWT dalam Al-Quran supaya bertambah keimanan mereka.

Ayat pertama dari Surah Al-Israk telah mengiktiraf kisah ini;

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Peristiwa ini juga menjadi asbab kewajipan solat sebanyak lima waktu sehari semalam ke atas setiap orang Islam. Keistimewaan ibadah solat fardhu ini sememangnya mengatasi amal ibadah khusus yang lain seperti berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan zakat, dan mengerjakan haji di Baitullah kerana ia merupakan satu-satunya ibadah yang telah Allah SWT perturunkan secara terus kepada Rasulullah SAW tanpa melalui perantaraan Jibril AS, malaikat penyampai wahyu ataupun menerusi ilham. Nabi Muhammad SAW telah dijemput khas ketika dinaikkan dari Qubbatul Shakrah (Kubah Batu) di Masjid al-Aqsa ke lapisan tertinggi langit hinggakan di situ hanya diri Rasulullah SAW sahaja yang bersendirian menghadap Allah SWT tanpa ditemani Jibril AS. Pada ketika itulah perintah ibadah solat ini diterima Baginda sekaligus memberikan satu penanda aras kedudukan ibadah ini berbanding ibadah khusus yang lain.

Disamping itu, terdapat beberapa hadis yang membuktikan keberadaan taraf ibadah solat yang amat signifikan pada diri setiap muslim sepertimana disabdakan Baginda yang bermaksud;

“Awal-awal perkara yang dihisab atas hamba pada hari Kiamat ialah solat. Maka sekiranya solat itu elok nescaya eloklah lain-lain amalannya (diterima Allah), dan sekiranya solat itu rosak nescaya rosaklah lain-lain amalannya (ditolak oleh Allah).”

[Riwayat Imam Tabrani]

“Solat itu adalah tiang agama, maka sesiapa yang mendirikannya bererti dia telah menegakkan agamanya. Kemudian sesiapa yang meninggalkannya bererti dia telah meruntuhkan agamanya”

[Riwayat Imam Baihaqi]

Sesungguhnya daripada dua hadis ini telah memberi kesimpulan ringkas malah padat pada diri kita bahawa solat merupakan cerminan kedudukan iman dan taqwa ketika hidup di dunia serta gambaran ke mana destinasi abadi kita ketika hidup di akhirat nanti. Pada pandangan penulis, solat fardhu juga boleh menjadi kayu ukur seseorang individu muslim sama ada jiwanya tenang bernafas dalam kenikmatan iman atau bergelora separuh mati lemas dalam noda kejahatan. Jika kita perhatikan, solat merupakan satu-satunya ibadah yang tidak tertanggal kewajipan bagi setiap diri yang bersyahadah la ilaha illallah dan muhammadur rasulullah selagi mereka bernyawa dan rukhsah (kelonggaran) yang dibenarkan syarak bagi ibadah ini hanya boleh dipraktikkan bila mana ada sesuatu keadaan itu tidak mampu dilaksanakan. Jika tidak mampu solat dalam keadaan berdiri, maka solatlah dalam keadaan duduk. Jika tidak mampu solat dalam keadaan duduk, maka solatlah dalam keadaan berbaring atau mengiring. Jika tidak mampu solat dalam keadaan berbaring atau mengiring, maka solatlah dengan isyarat mata. Jika tidak mampu solat dengan isyarat mata, maka solatlah dengan hati. Jika tidak mampu juga dengan hati, maka ketika itulah kita tahu bahawa kita telah mati!

            Malangnya dewasa ini, ramai di kalangan umat Islam yang mengabaikan fardhu solat. Menurut tinjauan oleh seorang pakar motivasi tempatan, Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah telah mendedahkan pada sekitar tahun 2004 bahawa 80 peratus daripada keseluruhan umat Islam di Malaysia tidak menyempurnakan solat lima waktu sehari semalam[1]. Selain itu, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) pernah juga memaklumkan pada tahun 2013 bahawasanya kira-kira 70 peratus remaja Islam didapati tidak solat lima waktu sehari semalam[2] dan kerisauan ini juga diluahkan bersama oleh Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi bagi kerajaan negeri Selangor (gambar). Pada 2015, beliau telah mendedahkan hasil kajian yang dijalankan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bahawa lebih 70 peratus golongan asnaf dan remaja di Selangor tidak mengerjakan solat[3]. Permasalahan ini cukup membimbangkan khususnya apabila ia melibatkan statistik kemenjadian jiwa-jiwa belia dan remaja muslim tanah air sedangkan golongan ini merupakan aset utama agama, bangsa, dan negara dalam merangka masa depan yang lebih baik.

Pelbagai sebab permasalahan ini boleh berlaku dan pemerhatian yang boleh penulis kongsikan disini ialah; dimana letaknya kerelaan seseorang dalam melakukan perintah Tuhan yang telah dipaksakan ke atasnya. Sheikh Abu al-‘Ala al-Maududi ada menyebut dalam tulisannya pada bab pertama buku Asas-Asas Islam;

“Manusia yang mengenal penciptanya, beriman kepada-Nya sebagai Tuhan, pemilik dan tuan bagi dirinya. Dia mengikuti undang-undang syarak-Nya dalam kehidupan pilihannya (al-ikhtiyariyyah), sebagaimana dia menurut kepada undang undang tabii-Nya dalam kehidupan paksaannya (al-jabariyah). Inilah orang muslim yang sempurna, yang telah menyempurnakan Islamnya, kerana kehidupannya sekarang telah menjadi Islam itu sendiri. Dia telah menundukkan diri (secara gemar dan taat) kepada yang dipatuhinya dan yang dia terikat kepada undang-undang-Nya tanpa perasaan sebelumnya. Dan jadilah dia sekarang (secara qasad dan sengaja) taat kepada Tuhannya, yang sebelum itu dipatuhinya tanpa qasad dan kemahuan.”

 

Menurut Sheikh Abu al-‘Ala, seseorang muslim yang benar-benar mengenali Allah SWT sebagai Tuhannya maka perlulah dia meletakkan pilihan kehidupannya selari dengan kehendak Tuhan yang disembahnya. Maka dari inilah, seseorang muslim akan menghayati dengan efektif kaedah ketuhanan yang kukuh dan tegas serta dengan izin Allah, kenikmatan beribadah dapat dikecapi sekaligus menjadi benteng dari perkara keji dan mungkar sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Ankabut ayat 45;

“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”

Rujukan:

[1]http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0616&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

[2]http://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131127/dn_08/Kajian-Isma-dapati-70-peratus-golongan-remaja-Islam-tidak-solat-lima-waktu

[3]http://bm.selangorku.com/74600/70-asnaf-remaja-tak-solat/

 img_8699-1.jpeg

Disediakan oleh,

Mohamad Fathil Aqil Abdullah

Aktivis PEMBINA Bangi

Related Posts

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 

Jom Sertai PEMBINA

Artikel terbaru

  • “Isu Solat Berjemaah, Di manakah kita?”

    “Dan dirikanlah kamu solat dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.” (Surah al-Baqarah ayat 43) Solat sememangnya menjadi tiang peneguh yang menjadi aset utama keluhuran agama Islam. Sejak dari kecil lagi anak-anak Muslim sepatutnya diajar untuk mendirikan solat kerana masa ini adalah masa yang sangat berharga buat mereka. Selari dengan…

  • Remaja dan Rokok?

    Isnin lepas, hatiku tergerak untuk singgah makan pada waktu tengah hari di salah sebuah restoran mamak di Sri Serdang. Kebetulan pada waktu itu juga beberapa orang adik-adik yang bersekolah pada sesi pagi singgah makan di restoran yang sama. Tampak pada gaya mereka akan kekemasan rambut yang disikat rapi, baju kemejanya kekal tuck in, dan tali…

  • SUDUT PANDANG MAHASISWA : HUDUD DAN RUU AKTA 355; DI MANAKAH KEADILANNYA?

    Baru-baru ini Malaysia digemparkan dengan isu Rang Undang-undang (RUU) Akta 355 yang diusulkan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Parlimen tempoh hari sekali gus menimbulkan beberapa respon yang baik mahupun buruk daripada pelbagai lapisan masyarakat malah isu tersebut turut membangkitkan isu hudud semula. Maka kami sebagai mahasiswa muslim juga tidak ketinggalan dalam mengambil…

Ini Wilayah PEMBINA

Ikuti Pembinabangi

Anda semua dijemput untuk melawat laman facebook, twitter, flickr dan youtube pembinabangi untuk mengikuti perkembangan terbaru dan lebih lanjut maklumat tentang kami.

isikan alamat emel anda untuk sentiasa mengikuti perkembangan Pembina Bangi