Berita Utama, Rencana

Laman MPP di Facebook bukan untuk Perkara Remeh

0 41

Maklumat hanya di hujung jari. Itulah perumpamaan yang biasa kita dengar hari ini yang menggambarkan betapa mudahnya maklumat disebarkan. Jika kita singkap kembali sejarah dahulu di zaman komputer masih lagi sebesar peti sejuk dan sudah tentunya pada zaman tersebut tidak wujud internet yang kita gunakan pada hari ini. Para pelajar, guru, kakitangan kerajaan dan pekerja pada zaman ini terpaksa mendapatkan maklumat melalui pembacaan, kajian secara terperinci dan sebagainya.

Di sini kita dapat lihat bahawa untuk menyebarkan atau mendapatkan sesuatu maklumat sememangnya memakan masa yang sangat lama. Oleh itu, untuk memastikan tidak berlaku sebarang pembaziran masa dan tenaga, sudah tentu hanya maklumat-maklumat yang penting sahaja akan diproses. Berbeza dengan situasi hari ini di mana perkara-perkara yang remeh pun dibincangkan panjang lebar tanpa memikirkan kesannya kepada masyarakat di luar. Masyarakat di luar yang membaca akan merasa keliru dan tidak tahu solusi sebenar masalah tersebut.

Begitu juga situasi yang berlaku dalam kalangan pelajar di UNITEN. Satu budaya yang boleh dikatakan tidak begitu sihat adalah sikap pelajar yang suka ‘post’ masalah-masalah yang berlaku dalam kampus di laman Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) tanpa ada sebarang kawalan. Perkara-perkara yang sepatutnya boleh diselesaikan melalui cara yang lebih berkesan dan mudah menjadi begitu rumit akibat daripada sikap ini. Tidak salah untuk pelajar menyuarakan permasalahan yang berlaku di page tersebut tetapi haruslah difikirkan masak-masak terlebih dahulu. Para pelajar perlu memikirkan adakah masalah yang dihadapi melibatkan pelbagai pihak termasuk yang berautoriti di UNITEN? Jika masalah tersebut hanya melibatkan beberapa individu sahaja maka tidak perlulah membuat aduan secara ‘public’ melalui media sosial.

Budaya ini seharusnya ditinggalkan kerana banyak kesan negatif yang bakal berlaku bukan sahaja pada pelajar mahupun ahli Majlis Perwakilan Pelajar tetapi pihak pengurusan universiti juga akan terkesan akibat daripada tabiat suka membuat aduan secara melulu ini. Apakah kesannya jika budaya ini diteruskan pada masa akan datang? Pertama sudah tentunya masalah yang diutarakan tidak dapat diselesaikan dengan sepenuhnya. Mungkin daripada segi dasarnya masalah tersebut sudah selesai, namun sebenarnya ia hanya untuk seketika. Ketidakpuasan hati akan berlaku semula bahkan mungkin lebih teruk.

Sebagai contoh situasi yang berlaku adalah seorang pelajar membuat aduan tentang kerosakan peralatan apartment di dalam kampus. Sepatutnya masalah ini terus diajukan kepada pihak pengurusan apartment dan bukannya di media sosial. Akibat daripada perbuatan ini akan timbulnya pelbagai persepsi negatif kepada pihak pengurusan seolah-olah mereka tidak mengambil endah permasalahan yang berlaku.

Apabila sesuatu masalah berlaku kadang kala perkara tersebut adalah rumit dan memerlukan masa untuk diselesaikan kerana melibatkan pihak pengurusan UNITEN. Tidak dapat dinafikan peranan pimpinan pelajar untuk berusaha sedaya-upaya menyelesaikan masalah ini. Namun, kesabaran para pelajar sangat diperlukan supaya sesuatu masalah dapat diselesaikan dengan baik. Situasi yang berlaku sekarang ialah apabila masalah yang kecil diajukan di dalam media sosial dan menyebabkan ramai ‘ilmuwan’ alam maya yang menyatakan pendapat yang mampu mengeruhkan lagi keadaan. Hasil daripada keadaan ini akhirnya pihak pimpinan pelajar yang akan dipersalahkan dan komitmen mereka terhadap permasalahan pelajar akan dipersoalkan sedangkan mereka berusaha menyelesaikannya mengikut prosedur yang ditetapkan.

Selain daripada itu, budaya terlalu bergantung kepada media sosial untuk membuat aduan tentang sesuatu masalah ini akan menjadi tabiat para pelajar dan seterusnya akan dibawa sehingga ke alam pekerjaan. Ini bakal mengundang masalah yang lebih serius kerana di alam pekerjaan akan banyak lagi ketidakpuas hati akan berlaku. Jika tabiat ini diteruskan sudah tentu pelajar akan mengambil inisiatif mudah untuk menyuarakan masalah di tempat kerja melalui media sosial supaya satu dunia tahu mengenai masalah mereka. Masalah yang lebih besar pastinya menanti jika tabiat ini diteruskan kerana dunia luar daripada kampus sangat mencabar dan memerlukan pelajar bersikap professional dan matang daripada segi pemikiran mahupun tindakan.

Akhir kata, tidak menjadi satu kesalahan untuk menyuarakan pendapat atau masalah melalui media sosial. Tetapi perlunya ada kawalan ataupun tapisan terhadap perkara yang ingin diluahkan. Bukan semua masalah yang kita hadapi perlu diberitahu secara umum kerana hidup sebagai seorang manusia ini tidak akan lari daripada mengalami sebarang masalah dan Allah SWT menuntut kita sebagai umat Islam untuk kembali kepadanya jika merasa terlalu terbeban dengan masalah yang melanda. Perbanyakkan beristighfar dan muhasabah diri untuk menenangkan perasaan.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 216

“..dan boleh jadi kamu membenci sesuatu tetapi ia baik bagimu, dan boleh jadi kamu , menyukai sesuatu tetapi ia buruk bagimu, dan Allah maha mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”.

Islam sangat menuntut umatnya berfikir secara rasional sebelum melakukan sebarang tindakan kerana dikhuatiri bakal mengundang fitnah kepada agama. Tambahan pula banyak tuduhan-tuduhan yang dilakukan musuh-musuh Islam di media sosial terutamanya untuk menjatuhkan imej Islam di mata dunia dan seterusnya bakal mengundang kesan negatif kepada kita pada akhir nanti.

shahir

Mohd Shahir

Ketua Media PEMBINA UNITEN

Protege Akademi Al-Banna

Related Posts

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 

Jom Sertai PEMBINA

Artikel terbaru

  • Promosi Konvokesyen Dengan Cara Tarian Bukan Ciri Mahasiswa

    Bulan Oktober dan November menjadi saat yang menggembirakan bagi mahasiswa yang bergraduan setelah berjaya menamatkan pembelajarannya di universiti. Majlis konvokesyen bertambah meriah dengan beberapa aktiviti, pameran dan jualan yang diadakan serta penglibatan para pensyarah, keluarga dan saudara mara. Namun, adakah aktiviti seperti tarian yang diadakan oleh mahasiswa di Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini sesuai…

  • 4 Mac Hilangnya Seorang Wira Islam, Palestin

    TANGGAL 4 Mac 1193 umat Islam telah kehilangan seorang pemerintah, ketua angkatan tentera yang telah melakar sejarah besar buat umat Islam. Salahuddin Al Ayubi nama yang tidak asing bagi umat Islam yang terkenal sebagai Sang Penakluk. Kata-katanya pernah dirakamkan sebagai tunjang kepada kebangkitan semangat umat Islam untuk berjihad. Umurnya mencecah 14 tahun, beliau telah menjadi…

  • Jangan Kau Lupa Peristiwa Hitam 3 Mac 1924!

    Sudah 94 tahun berlalu peristiwa hitam yang memberi luka yang dalam buat umat Islam. Detik bersejarah ini telah merakam pengakhiran bagi sistem khalifah yang sudah berdiri teguh sejah sekian lama. Sultan Abdul Hamid II merupakan khalifah yang kuat menahan empayar Turki yang hendak dirakus oleh dunia Eropah ketika itu telahpun digulingkan. Dalang yang mengkucar-kacirkan Empayar…

Ini Wilayah PEMBINA

Ikuti Pembinabangi

Anda semua dijemput untuk melawat laman facebook, twitter, flickr dan youtube pembinabangi untuk mengikuti perkembangan terbaru dan lebih lanjut maklumat tentang kami.

isikan alamat emel anda untuk sentiasa mengikuti perkembangan Pembina Bangi