Berita Utama, Bicara Pimpinan, Kalam Tarbawi

RAMADAN YANG DULU BUKANLAH YANG SEKARANG

0 214

Alhamdulillah, setelah setahun menunggu, sekali lagi Allah menemukan kita dengan bulan yang penuh keberkatan ini yakni bulan Ramadan. Namun persoalannya, apakah ibadah puasa yang akan dan sedang kita jalani ini akan kita hayati dengan keimanan atau hanya sekadar ikut-ikutan tanpa ada rohnya?. Suka saya mulakan perbincangan ini dengan satu analogi yang saya ambil dari sebuah jurnal Al-Islam (2014) berkenaan Puasa Beluncas, Puasa Ular. Adakah kita mahu jadi puasa seperti ulat beluncas atau puasa seperti ular?.

Pertama, kenapa diumpamakan puasa beluncas?. Itulah analogi puasa paling baik dan mendapat peringkat kelulusan tertinggi. Cuba perhatikan beluncas sebelum bertukar menjadi rama-rama yang cantik. Bukan senang untuk menjadi secantik itu, beluncas perlu melewati tempoh metamorfosis. Dalam bahasa mudahnya beluncas menjadi kepompong sebelum berupaya lahir sebagai rama-rama. Semasa metamorforsis, beluncas akan berada dalam tempoh berpuasa yang panjang. Kalau rama-rama monarch, tempoh berpuasanya adalah selama dua minggu. Sebelum melalui metamorfosis, beluncas akan makan dengan lahapnya sebagai bekalan menjalani kehidupan fasa kepompong. Setelah berjaya melepas fasa itu, barulah beluncas yang menggelikan itu menjadi seekor rama-rama cantik. Analoginya, setelah berakhirnya ibadat puasa sebulan ramadan, orang yang ikhlas mengerjakan ibadat itu menjadi jauh lebih baik berbanding sebelumnya. Puasa menjadikan dirinya, ibadat, keperibadian, disiplin dan kejujurannya jauh lebih baik (Jurnal Al-Islam 2014).

Kedua, puasa ular dianalogikan untuk orang yang puasanya gagal. Macam mana berpuasa tapi tidak lulus, apa yang dapat? Dan kenapa puasa ular?. Cuba anda perhatikan kitaran hidup ular, semasa menjalani tempoh ecdysis (salin kulit) ular akan berpuasa dan mengasingkan diri. Walaupun ular berpuasa semasa bersalin kulit ia tetap berbahaya. Tempoh ecdysis itu tidak mengubah ular menjadi binatang yang lain yang comel lagi jinak. Ular tetap ular walaupun bersalin kulit beribu kali. Ia tetap binatang yang menjijikan, bertaring dan bersisa. Malah ular yang bersalin kulit akan menjadi lebih agresif (Jurnal Al-Islam 2014). Itulah perumpamaan bagi mereka yang berpuasa tetapi puasanya menjadikannya lebih buruk. Andainya sebelum Ramadan solat lima waktunya lompang satu atau dua waktu kerana kesibukkan mengejar dunia, bila tibanya waktu Ramadan, solat yang mulanya tiga kali didirikan sudah menjadi kosong yakni tidak solat langsung.

Kita yang menilai sejauh mana tahap kita pada tiap-tiap ramadan yang kita lalui sama ada dikategorikan sebagai beluncas si pejuang ataupun ular yang mengular di bulan Ramadan. Sebaik-baik kelompok manusia di bulan Ramadan adalah kelompok manusia yang menunggu kedatangan bulan ini dengan penuh kesabaran. Mereka bertambah gembira dengan kedatangannya hingga mereka pun menyingsingkan lengan dan bersungguh-sungguh mengerjakan segala bentuk ibadah seperti puasa, solat, sedekah dan sebagainya (Abdul Aziz 2010). Kelompok manusia ini akan lebih bertambah amal ibadahnya lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan seperti yang diriwayatkan dalam Hadis Riwayat Bukhari dimana:

“Ibnu Abbas berkata bahawa Nabi Muhammad SAW adalah orang yang paling dermawan. Namun baginda menjadi lebih dermawan lagi di bulan Ramadan ketika baginda selalu ditemui Jibril. Setiap malam pada bulan Ramadan, Jibril menemui baginda hingga akhir bulan. Rasulullah SAW membacakan Al-Quran kepada Jibril. Bila baginda bertemu Jibril, baginda lebih dermawan lagi daripada angin yang bertiup.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

            Kelompok manusia yang paling buruk adalah kelompok manusia yang tidak mengenal Allah pada bulan Ramadan dan tidak pula pada bulan lainnya. Mereka adalah kelompok yang paling buruk dan berbahaya (Abdul Aziz 2010). Anda akan melihat mereka tidak ambil berat tentang solat atau puasa. Mereka meninggalkan kewajipan itu secara sengaja sedangkan mereka sihat dan tidak uzur syarie. Namun mereka mengaku sebagai orang Islam sedangkan Islam sangat jauh dari mereka. Orang-orang Islam pun berlepas diri dari mereka. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 14-15:

Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: “Kami telah beriman”, dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula: “Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya  memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)” (14). Allah (membalas) memperolok-olok, dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka (yang melampaui batas itu).

(Surah Al-Baqarah: 14-15)

            Kelompok-kelompok ini sebenarnya dinilai atas faktor persediaan seseorang individu itu. Sepertimana kita berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan persediaan di minggu-minggu peperiksaan, sepertimana kita sedang melakukan latihan intensif setiap kali mahu menyertai pertandingan atau perlumbaan (Hisham 2011), begitu juga langkah yang perlu kita aturkan di bulan Ramadan yang mana bulan ini penuh dengan kebaikan dan ganjaran oleh Allah SWT kepada umatNya yang berpuasa dengan sebenar-benarnya (Engku Ahmad Zaki 2010). Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

“Siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kerana iman dan penuh harap, nescaya diampunkan Allah dosa-dosanya yang telah lalu.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

            Akhir kata, sentiasalah menanam hasrat untuk berubah walaupun kita merasakan diri kita seperti hipokrit tiap kali menjelang Ramadan kerana ikhlas akan datang walaupun kita merasakan ‘terpaksa’ untuk melakukan ibadah-ibadah sunat seperti solat terawih, membaca Al-Quran dan ibadah-ibadah sunat yang lain. Jika kita tidak melatih diri kita mulai masa sekarang , kita akan mensia-siakan bulan yang penuh keberkatan ini yang hanya datang sekali sahaja sepanjang setahun yang mana kita tidak pasti adakah kita akan berjumpanya lagi atau tidak pada tahun yang akan datang. Daripada Abdullah bin Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

“Puasa dan Al-Quran memberi syafaat kepada hamba Allah pada hari kiamat. Puasa berkata,“Wahai Tuhanku, aku telah menghalanginya makan minum dan memenuhi syahwatnya pada siang hari, maka perkenankanlah aku memberi syafaat baginya.” Dan Al-Quran pun berkata,“Aku telah menghalanginya tidur pada malam hari, maka perkenankanlah aku memberi syafaat baginya,” Lalu syafaat kedua-duanya diterima Allah.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

 Wallahualam. . .

IMG_6024

Muhammad Wafiq Bin Azman

Presiden PEMBINA UKM

Protege Akademi Al Banna 2016

Rujukan

Engku Ahmad Zaki. 2010. Ramadan bulan kegembiraan orang mukmin. Kuala Lumpur: Mustread Sdn.Bhd.

Hisham AR. 2011. Ramadan Terakhir. Selangor: Galeri Ilmu Sdn.Bhd.

Abdul Aziz As-Sadhan. 2010. Jangan biarkan puasa anda sia-sia. Kuala Lumpur : S.A. Majeed & Co. Sdn. Bhd.

Jurnal Al-Islam. 2014. Puasa Beluncas, Puasa Ular. Kuala Lumpur: Utusan Karya Sdn. Bhd.

Related Posts

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 

Jom Sertai PEMBINA

Artikel terbaru

  • Remaja dan Rokok?

    Isnin lepas, hatiku tergerak untuk singgah makan pada waktu tengah hari di salah sebuah restoran mamak di Sri Serdang. Kebetulan pada waktu itu juga beberapa orang adik-adik yang bersekolah pada sesi pagi singgah makan di restoran yang sama. Tampak pada gaya mereka akan kekemasan rambut yang disikat rapi, baju kemejanya kekal tuck in, dan tali…

  • SUDUT PANDANG MAHASISWA : HUDUD DAN RUU AKTA 355; DI MANAKAH KEADILANNYA?

    Baru-baru ini Malaysia digemparkan dengan isu Rang Undang-undang (RUU) Akta 355 yang diusulkan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Parlimen tempoh hari sekali gus menimbulkan beberapa respon yang baik mahupun buruk daripada pelbagai lapisan masyarakat malah isu tersebut turut membangkitkan isu hudud semula. Maka kami sebagai mahasiswa muslim juga tidak ketinggalan dalam mengambil…

  • Normalisasi Penyumbang Kepada Penyuburan Islam di UNITEN

    Perkataan ‘normal’ membawa maksud suatu keadaan atau perkara yang menjadi kebiasaan. Melalui definisi ini dapat kita ketahui bahawa proses normalisasi merupakan satu proses membudayakan atau menjadikan sesuatu perkara itu seolah-olah sudah pun sebati dalam kehidupan kita. Secara amnya, normalisasi terbahagi kepada dua pecahan iaitu normalisasi posittif dan negatif. Namun, untuk menentukan sama ada normalisasi yang…

Ini Wilayah PEMBINA

Ikuti Pembinabangi

Anda semua dijemput untuk melawat laman facebook, twitter, flickr dan youtube pembinabangi untuk mengikuti perkembangan terbaru dan lebih lanjut maklumat tentang kami.

isikan alamat emel anda untuk sentiasa mengikuti perkembangan Pembina Bangi