Berita Utama, Bicara Pimpinan, Isu Semasa

SUDUT PANDANG MAHASISWA : HUDUD DAN RUU AKTA 355; DI MANAKAH KEADILANNYA?

0 3823

Rang-Undang-undang-355

Baru-baru ini Malaysia digemparkan dengan isu Rang Undang-undang (RUU) Akta 355 yang diusulkan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Parlimen tempoh hari sekali gus menimbulkan beberapa respon yang baik mahupun buruk daripada pelbagai lapisan masyarakat malah isu tersebut turut membangkitkan isu hudud semula. Maka kami sebagai mahasiswa muslim juga tidak ketinggalan dalam mengambil tahu isu ini tambahan lagi ia sangat berkait rapat dengan kami. Justeru itu, kami berasa terpanggil untuk mengutarakan pendapat kami berkenaan isu ini dari sudut pandang mahasiswa muslim itu sendiri. Sebelum kami pergi dengan lebih lanjut, kami cerakinkan pandangan dan persoalan kami kepada tiga bahagian iaitu; penjelasan hudud dan kesannya terhadap orang bukan Islam sekiranya dilaksanakan, kaitan hudud dengan permohonan pindaan RUU Akta 355 dan kesan akta tersebut terhadap orang bukan Islam, dan kesan hudud dan Akta 355 terhadap rakyat Malaysia jika dilaksanakan.

Isi pertama : Apa itu Hudud dan kesannya terhadap bukan Islam?

Secara ringkasnya, hudud itu bermaksud hukuman-hukuman yang ditentukan oleh Allah SWT sama ada melalui Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW sebagai hak Allah yang dikenakan ke atas setiap pesalah yang telah melakukan 7 jenis kesalahan seperti yang dinyatakan dalam Al-Quran yakni zina, tuduhan zina (Qazaf) tanpa 4 saksi, minum arak, mencuri, hirabah (perusuh/gangguan keamanan), murtad dan bughah (pemberontakan). Sebelum ini cadangan melaksanakan hudud di Malaysia telah lama timbul namun begitu timbul satu persoalan, sekiranya hudud dilaksanakan di Malaysia, adakah orang bukan Islam juga tertakhluk pada hudud juga?

Jawapannya adalah ya.

Terkejut?

Sabar.

Bacalah penjelasan kami yang seterusnya dan semoga ia menjadi noktah awal ke arah kefahaman pelaksanaan hukum hudud yang membabitkan orang bukan Islam.

Buat fahaman pembaca sekalian, kami berikan satu contoh berkaitan hudud iaitu zina.

Apabila orang bukan Islam melakukan zina sama ada sesama mereka atau bersama orang Islam, para fuqaha’ berselisih pandangan dalam menentukan hukuman kepada penzina yang bukan beragama Islam di mana sekiranya penzinaan berlaku antara orang bukan Islam menurut fuqaha’ Hanafiyyah, Shafi‘iyyah dan Hanbilah, mereka ini akan dijatuhkan hukuman hudud sekiranya mereka adalah Dzimmiyy (orang kafir yang menetap di negara Islam, dalam hal ini ia dikira sebagai orang bukan Islam) dan sekiranya mereka adalah Harbiyy (orang bukan Islam yang membunuh orang Islam di wilayah yang bergolak) mereka tidak akan dijatuhkan hukuman hudud. Manakala menurut fuqaha’ Malikiyyah pula mereka ini sama sekali tidak akan dijatuhkan hukuman hudud.

Penjelasan selanjutnya, disini terdapat 4 pendapat di mana Al-Malikiyyah berpandangan bahawa mereka ini tidak akan dijatuhkan hukuman hudud sebaliknya dikenakan hukuman berdasarkan agama mereka, Hanafiyyah pula berpandangan bahawa mereka sama sekali tidak akan dijatuhkan hukuman rejam sebaliknya hanya akan dijatuhkan hukuman sebat seratus kali sama ada mereka telah berkahwin ataupun masih bujang, dan terkahir sekali Al-Shafi‘iyyah dan al-Hanbilah berpendapat bahawa mereka ini yang menetap di negara Islam adalah sama dengan orang Islam yang berzina dari sudut hukuman sebat bagi yang tidak pernah berkahwin dan hukuman rejam sampai mati bagi yang telah berkahwin.

Bagaimana pula hukuman buat orang bukan Islam yang berzina dengan orang Islam? Menurut fuqaha’ Malikiyyah, orang bukan Islam tersebut tidak akan dijatuhkan hukuman hudud sebaliknya dijatuhkan hukuman yang keras berdasarkan kepercayaan agama mereka. Manakala orang Islam itu pula yang rela berzina dengan orang bukan Islam akan dijatuhkan hukuman hudud. Namun berbeza pula dengan pendapat fuqaha’ Hanafiyyah, Syafi`iyyah dan Hanbilah di mana orang bukan Islam turut dijatuhkan hukuman hudud sekiranya mereka menetap di negara ini.

Oleh itu, pendapat manakah yang paling benar?

Menurut pandangan kami sebagai mahasiswa Muslim, orang bukan Islam yang berzina sesama mereka tidak dijatuhkan hukuman hudud dengan berpegang pada pandangan Malikiyyah bagi meraikan situasi mereka yang baru ingin berjinak-jinak dengan undang–undang Islam. Walau bagaimanapun demi menjaga maruah dan moral, mereka ini yang berzina perlu dijatuhkan hukuman yang difikirkan sesuai oleh agama dan adat resam mereka.

Sekiranya orang bukan Islam yang berzina dengan orang Islam, mereka perlu dijatuhkan hukuman hudud dengan berpegang pada pandangan Hanafiyyah kerana ia membabitkan orang Islam dan bagi mengelakkan berlakunya kerosakan nasab dan pembunuhan bayi yang berstatus tidak sah. Kami juga tidak cenderung kepada pandangan Malikiyyah kerana berkemungkinan hukuman yang bakal diputuskan oleh agama dan adat resam orang bukan Islam tidak menghalangnya untuk berzina lagi dengan orang Islam.

Bukan mudah bagi sesuatu badan penghakiman untuk menjayakan hukuman malah ia sungguh sukar dan kadang kala agak mustahil untuk dilaksanakan sekiranya tanpa bukti yang sangat kukuh dan berlaku sedikit keraguan. Jika lihat semula hudud yang dilaksanakan pada zaman Nabi Muhammad SAW, beberapa kes sahaja yang telah dilaksanakan dan sedikit. Diharapkan penjelasan dari contoh ini membuka mata para pembaca sekalian bahawa hudud sebenarnya bertindak adil terhadap rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan ia memang wajar dilaksanakan di Malaysia.

Isi kedua : Apa kaitan hudud dengan permohonan pindaan RUU Akta 355?

Sebelum melihat kepada perkaitan hudud dan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355),kita perlu tahu apa itu Akta 355 dan apakah isi kandungannya iaitu

Seksyen 2. Bidang kuasa Jenayah Mahkamah Syariah (rujukan; Akta 355 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Disemak – 1988)di mana

 

Mahkamah Syariah yang ditubuhkan dengan sempurnanya di bawah mana-mana undang-undang dalam sesuatu Negeri dan diberi bidang kuasa ke atas orang-orang yang menganuti agama Islam dan berkenaan dengan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai 2 bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis iaitu

 

dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi Rm5000 atau sebatan melebihi 6 kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.

Maka disini jelas terbukti hudud langsung tiada perkaitan dengan permohonan pindaan Akta RUU 355 kerana permohonan yang diusulkan bertujuan untuk memperkasakan lagi hukuman yang terkandung dalam hukum kanun jenayah syariah di mana ia dibataskan kepada kadar yang telah disebutkan di atas. Itu pun kali terkahir ia dipinda pada tahun 1984 peningkatan dari penjara 6 bulan dan denda RM1000.

Justeru hukuman yang ada sudah lapuk dan langsung tidak menggerunkan para pesalah yang beragama Islam. Apa yang dicadangkan hanyalah untuk meningkatkan hukuman maksimum yang selaras dengan hukum syarak selain hukuman mati. Jumlah hukuman denda, penjara dan sebatan bakal ditentukan oleh Dewan Undangan Negeri sendiri dan sangat jelas iabukan bermaksud hukum hudud. Malah pindaan ini bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan bagi kesalahan-kesalahan mencuri, merompak, zina, qazaf, minum arak dan murtad yang dikendalikan oleh Mahkamah Syariah.

Maka masyarakat bukan Islam di negara ini tidak perlu gusar dengan pembentangan pindaan Rang Undang-Undang, (RUU) Akta 355 malah hal ini turut diakui oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki kerana usul ini membabitkan akta peringkat persekutuan,dan ia masih tertakluk kepada persetujuan pemakaiannya kepada negeri kerana urusan agama(Mahkamah syariah)terletak bawah kuasa negeri khususnya DYMM Raja atau sultan masing masing.

Isi ketiga : Kesan hudud dan Akta 355 terhadap rakyat Malaysia jika berjaya dilaksanakan di negara ini.

Sekiranya hukum hudud dan RUU Akta 335 dijalankan di Malaysia, manfaatnya bukan sahaja khusus kepada umat Islam sahaja malah kepada orang bukan Islam juga.  Menurut  artikel daripada Portal Islam Melayu (ISMA.WEB), Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman selaku Presiden ISMA tampil di persidangan  media bagi menyuarakan pandangan beliau tentang kebaikan hudud di mana beliau berpendapat sekiranya hudud dilaksanakan di Malaysia masalah jenayah dapat dikurangkan kerana masyarakat tidak berani lagi untuk melaksanakan jenayah seperti membunuh, merompak, mencuri, berzina ekoran takut akan disabit kesalahan kerana memikirkan hukuman yang bakal menimpa mereka.  Sekali gusmenjamin kesejahteraan hidup rakyat termasuklah nyawa, harta benda, maruah dan keturunan. Oleh itu, sistem hudud tidak boleh dipandang dari satu sudut sahaja, bahkan ia mestilah diteliti dari setiap penjuru kerana manfaatnya lebih banyak daripada keburukan seperti mana yang sering diperkatakan oleh sesetengah pihak.

Bukan itu sahaja,rakyat juga bakal menikmati pemerintahan yang adil dan saksama sekiranya sistem hududdilaksanakan di Malaysia kerana sistem yang diguna pakai oleh negara kini adalah berdasarkan undang-undang sivil yang dikendalikan oleh manusia sedangkan pengadilan Allah SWT lebih tepat dan adil berbanding manusia itu sendiri. Situasi berat sebelah mungkin akan terjadi dan yang lemah akan mudah ditindas disebabkan pihak pengadilan disuap dengan kekayaan dan kemewahan. Perkara sebeginilah yang harus dielakkan. Disebabkan itulah kami berpendapat bahawa hukum hudud adalah relevan dilaksanakan di negara ini yang majoritinya adalah penduduk Muslim kerana sistem hudud tidak mengenal pangkat, darjat, keturunan mahupun kekayaan seseorang. Sekiranya individu tersebut didakwa dan memang terbukti bersalah, maka hukuman mestilah dilaksanakan bersesuaian denagn kesalahan yang dilakukan.

Manakala kesan sekiranya Akta 355 ini dipinda dan digunapakai ke atas umat Islam sudah tentu akan timbul perasaan gerun dalam kalangan umat Islam itu memandangkan akta ini khas dicipta untuk orang Islam sahaja. Hal ini penting demi menjaga hak orang Islam supaya tidak mudah dicabul begitu saja kerana bidang kuasa mahkamah syariah akan seriring dengan pemerkasaan undang-undang sivil yang termaktub dalam perlembagaan. Malah, sistem hukuman di bawah Akta 355 ini lebih relevan berbanding hukuman di bawah undang-undang sivil dan ia dapat dilihat dalam contoh perlaksanaan 100 kali sebatan dari Akta 355 berbeza dengan sebatan yang mengikut undang-undang sivil di mana ia bukan bertujuan untuk mencederakan seolah-olah jika buku diletakkan di ketiak tidak akan jatuh semasa menghayun rotan tersebut.

Konklusi

Akhir kalam, berdasarkan hujah yang kami bentangkan, kami sebagai mahasiswa muslim berpendirian dan menegaskan bahawa hudud itu satu keadilan dan pindaan RUU Akta 355 (Bidang Mahkamah Syariah) itu satu pengukuhan undang-undang Islam di Malaysia bagi memperkasakan umat Islam lalu menguatkan lagi hakikat bahawa Islam itu syumul. Firman Allah SWT dalam Al-Quran,

‘’Apakah Allah yang menciptakan itu tidak mengetahui sedangkan Dia Maha Halus dan Maha Mengetahui.’’       (Surah Al-Mulk :14)

 

Jadi bagaimana mungkin Tuhan yang Maha Halus dan Maha Mengetahui tidak menitikberatkan keadilan para hambaNya yang menjalankan hidup bermasyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik, bangsa dan kepercayaan. Allah SWT yang menciptakan kita mengetahui dengan terperinci setiap hambaNya dan memahami tabiat fitrah manusia yang cintakan kebaikan. Kami petik satu petikan dari kitab ‘’Asas-asas Islam’’ karangan Abu’l A’la Al-Maududi yang berbunyi,

‘’Inilah dia Islam. Ugama manusia yang telah difitrahkan kepadanya. Ia tidak tertentu untuk

sesuatu ummat sahaja. Ia tidak tertentu untuk sesuatu rantau sahaja. Dan ia tidak tertentu untuk

sesuatu masa sahaja. Semua orang yang mengenal Allah menganut agama itu, mematuhi undang

undangnya, melalui jalannya yang lurus, pada setiap masa, setiap bangsa dan setiap rantau. Apakah

ia menamai agamanya itu Islam, atau menyebutnya dengan nama yang lain sesuai dengan lidah

kaumnya.’’

Wallahualam.

Penulis :

Nurul Fitrah Abdullah,

Bendahari PEMBINA UPM

Ayuni Bachtiar,

Ketua Beliawanis PEMBINA KUIS

Nur Atiqah Md Jaman,

Naib S/U Biro Bakti PEMBINA UKM

Wan Nurkhalida Wan Razali,

Timbalan Ketua Biro Aktivisme PEMBINA UPM

Protege Akademi Al Banna 2016

*Penulis merupakan aktivis PEMBINA yang bergerak aktif dan masih bergelar sebagai mahasiswa.

Rujukan :

[1] https://www.youtube.com/watch?v=jr54jyTg_4E – [Full] Pembentangan RUU Persendirian YB Marang

[2] http://arkibislam.blogspot.my/2010/04/apa-itu-hukum-hudud.html – Apa itu Hukum Hudud?

[3] Lihat Hashiyah al-Dusuqi beserta al-Sharh al-Kabir 4/313 dan Hashiyah al-‘Adawi beserta Kifayat al-Talib al-Rabbani 4/74.

[4] Lihat Sharh Fath al-Qadir 5/235, Hashiyah al-Bayjuri 2/338.

[5] Lihat Sharh Fath al-Qadir 5/226 dan Radd al-Mukhtar 6/5, 6/22.

[6] Fath al-Rahman m/s 893-894 dan Hashiyah al-Bayjuri 2/338.

[7] http://www.ismaweb.net/2014/05/kebaikan-hudud-untuk-semua-termasuk-bukan-islam/

[8] http://www.utaranews.com/2016/06/ruu-syariah-inilah-beza-antara-najib.html

[9] http://www.barisannasional.org.my/news/10-salah-faham-mengenai-pindaan-ruu-akta-355

[10] https://www.youtube.com/watch?v=AT23EompPh4 – Sudut Pandang : RUU 355 – Memperkasakan Mahkamah Syariah

[11] Asas-asas Islam oleh Abu’l A’la Al-Maududi, m/s 11.

[12] Islam Dakwah yang Syumul oleh Dr Yusuf Qardhawi, m/s 18.

Related Posts

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 

Jom Sertai PEMBINA

Artikel terbaru

  • Remaja dan Rokok?

    Isnin lepas, hatiku tergerak untuk singgah makan pada waktu tengah hari di salah sebuah restoran mamak di Sri Serdang. Kebetulan pada waktu itu juga beberapa orang adik-adik yang bersekolah pada sesi pagi singgah makan di restoran yang sama. Tampak pada gaya mereka akan kekemasan rambut yang disikat rapi, baju kemejanya kekal tuck in, dan tali…

  • SUDUT PANDANG MAHASISWA : HUDUD DAN RUU AKTA 355; DI MANAKAH KEADILANNYA?

    Baru-baru ini Malaysia digemparkan dengan isu Rang Undang-undang (RUU) Akta 355 yang diusulkan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Parlimen tempoh hari sekali gus menimbulkan beberapa respon yang baik mahupun buruk daripada pelbagai lapisan masyarakat malah isu tersebut turut membangkitkan isu hudud semula. Maka kami sebagai mahasiswa muslim juga tidak ketinggalan dalam mengambil…

  • Normalisasi Penyumbang Kepada Penyuburan Islam di UNITEN

    Perkataan ‘normal’ membawa maksud suatu keadaan atau perkara yang menjadi kebiasaan. Melalui definisi ini dapat kita ketahui bahawa proses normalisasi merupakan satu proses membudayakan atau menjadikan sesuatu perkara itu seolah-olah sudah pun sebati dalam kehidupan kita. Secara amnya, normalisasi terbahagi kepada dua pecahan iaitu normalisasi posittif dan negatif. Namun, untuk menentukan sama ada normalisasi yang…

Ini Wilayah PEMBINA

Ikuti Pembinabangi

Anda semua dijemput untuk melawat laman facebook, twitter, flickr dan youtube pembinabangi untuk mengikuti perkembangan terbaru dan lebih lanjut maklumat tentang kami.

isikan alamat emel anda untuk sentiasa mengikuti perkembangan Pembina Bangi