Belia dan Masyarakat, Berita Utama, Cerpen, Karya

Mesej Cinta Dari Dia

0 51

Firman Allah S.W.T.:

“…Tetapi Allah menjadikan kamu cinta kepada keimanan dan menjadikan (iman) itu indah dalam hatimu, serta menjadikan kamu benci kepada kekufuran, kefasikan dan kederhakaan. Mereka itulah orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus.”

(Surah Al-Hujurat ayat 7).

            Telefon bimbit bergetar di atas sebuah meja yang dilapikkan dengan alas berwarna merah dan mempunyai corak bunga melor. Lalu, dengan tangan yang longlai telefon bimbit tersebut dicapai. Senyuman terukir diraut wajahnya yang ayu apabila membaca teks media WhatsApp yang tertera di hadapan matanya.

            “Aisyah, malam ini bolehkah saya keluar bersama awak?”

            Lamunan Aisyah terhenti mendegar seruan dari bawah.

            “Siti Athirah Aisyah Binti Ibrahim! Sekarang sudah jam 9 pagi. Sudah kemas bilik kamu ke belum?” Teriak Puan Khadijah yang kelihatan sedang sibuk menyediakan sarapan pagi.

            Dengan badan yang lemah longlai dan mukanya yang masam, Aisyah membangunkan diri daripada perbaringannya di tilam yang empuk itu. Aisyah terus bersiap mengemas kamarnya dengan teratur dan bersih sepertimana yang diarahkan ibunya itu. Kemudian, dia menuruni tangga sambil membawa telefon pintar menuju ke meja makan yang terletak berhampiran dengan ruang masakan. Sampai sahaja di bawah, juadah sarapan pada hari itu sudah pun terhidang dan hanya menunggu masa untuk dinikmati. Aisyah mengambil tempat duduk bersama ahli keluarganya yang lain.

            “Khadijah, abang ingat nak pergi ke masjid malam ni. Lagipun, malam ni kita akan menyambut 1 Muharam, bolehlah kita membaca doa awal tahun sebelum maghrib dan doa akhir tahun selepas solat maghrib bersama-sama jemaah.” Kata Encik Ibrahim kepada isterinya sambil menghirup kopi o panas kegemarannya.

            “InsyAllah boleh, saya pun berkelapangan pada malam ni. Kalau ke masjid, dapat juga saya bertemu dengan kawan-kawan saya itu. Kamu nak ikut juga, Fatimah?” Jawab Puan Khadijah sambal menceduk juadah di hadapannnya.

            “Nak!” Jawab seorang kanak-kanak comel dengan pipinya yang tembam putih sambil menyuapkan nasi ke dalam mulutnya yang comot itu.

            “Saya ingat kalau ada masa lapang nanti bolehlah kita bercuti pergi mendaki bukit Broga sebab baru ni jiran sebelah kita pun satu keluarga pergi mendaki di Bukit Broga. Dah lama kita tak ke sana. Rasanya last kita pergi, masa tu Aisyah baru 10 tahun.” Cadang Puan Khadijah.

            “Bagus cadangan tu. InsyAllah nanti abang plan, masa bila yang sesuai kita ke sana.” Jawab Encik Ibrahim ringkas.

            Perbualan terhenti seketika, semuanya sedang menikmati masakan nasi goreng ayam yang dimasak oleh Puan Khadijah kecuali Aisyah yang agak sibuk dengan telefon pintarnya. Puan Khadijah sengaja menyiku tangan anak daranya itu sambil menyuap nasi ke dalam mulutnya. Aisyah terhenti seketika lalu berpaling ke raut wajah ibunya sambil matanya meliar seolah-olah sedang mencari idea.

            “Ayah, malam ni Aisyah tak dapat pergi masjid sebab Aisyah dah janji dengan kawan Aisyah nak jumpa dia malam ni, maaf ya, ayah.” Hanya senyuman manis yang dapat dibalas sebagai tanda untuk melepaskan diri dari ajakan tersebut. Puan Khadijah hanya menjeling dengan keningnya yang terangkat sebagai tanda tidak setuju dengan jawapan yang diberikan oleh anak sulung itu.

            “Jangan biarkan diri kamu sibuk dengan perkara dunia sahaja. Masa muda dan lapang ini patutnya kamu tolong ibu kamu dan mengurangkan bebanannya di rumah. Nanti bila dah ada suami macam mana? Dah menyesal tak guna lagi masa tu. Faham Aisyah?”

            Aisyah hanya mengangguk-angguk walaupun nasihat yang diberikan oleh ayahnya itu umpama masuk ke telinga kanan dan keluar ke telinga kiri. Tangannya tidak berhenti daripada menaip huruf-huruf yang terpampang di skrin telefonnya.

****************

“Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Barang siapa mengikuti langkah-langkah syaitan, sesungguhnya dia (syaitan) akan menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan mungkar. Kalau bukan kerana kurniaan Allah dan rahmatnya kepadamu nescaya tidak ada seorang pun diantara kamu bersih daripada perbuatan keji dan mungkar itu selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

(Surah An-Nur ayat 21)

            Malam. Keadaan rumah sudah menjadi sepi. Encik Ibrahim, Puan Khadijah dan anak bongsunya telah pergi ke masjid, manakala Aisyah yang berada di rumah sedang menunggu kehadiran teman lelakinya, Eddy. Jarang sekali Eddy membawa Aisyah keluar berjumpa namun kali ini Eddy menjanjikan sesuatu yang istimewa dalam pertemuan mereka. Eddy membawa Aisyah ke sebuah restoran yang ternama di sekitar bandar tersebut. Tidak hairanlah kerana teman lelakinya itu seorang anak berada. Mereka menikmati makan malam tersebut dengan mesra walaupun pada mulanya Aisyah kurang biasa dengan situasi tersebut. Tanpa rasa segan silu, Eddy memegang tangan Aisyah sambil dikucupnya dengan perlahan-lahan. Pipi yang putih milik si dara 20-an itu menjadi kemerah-merahan sambil diiringi dengan senyuman yang tersipu-sipu malu. Bagi Aisyah, Eddy seorang lelaki yang romantik dan dapat memahami hati seorang gadis sepertinya.

            Selesai makan, Aisyah mengikut kemana sahaja Eddy membawanya tanpa banyak persoalan. Aisyah tidak terlepas memandang Eddy sepanjang mereka berdua berada di dalam kereta sehinggalah sampai di suatu tempat yang tidak disangka oleh Aisyah. Pada mulanya Aisyah keberatan untuk masuk ke dalam kelab malam tersebut, akan tetapi atas desakan dan ayat-ayat manis dari Eddy menyebabkan Aisyah akur mengikuti kehendak teman lelakinya itu.

Keadaan di dalam kelab malam tersebut bagaikan neraka bagi orang yang beriman. Arak menjadi menu utama dan minuman harian. Keadaan lampu yang silau dan bunyi muzik yang bingit melalaikan pemuda-pemudi di sana. Eddy bertemu dengan rakan-rakanya dan memperkenalkan Aisyah kepada mereka. Aisyah hanya terpaku. Arak yang dihidangkan di dalam cawan kaca yang jernih diminum Eddy dengan selamba. Sempat lagi Eddy mempelawa Aisyah untuk menari bersamanya. Bagaimanapun, Aisyah menolak dan hanya duduk bersama rakan-rakan Eddy yang lain sambil memerhatikan puluhan manusia yang sedang asyik dan leka dengan suasana tersebut. Beberapa minit selepas itu, Aisyah cuba mendapatkan Eddy yang sedang leka menari dengan seorang perempuan yang berpakaian tidak senonoh. Tanpa mengatakan sesuatu, Aisyah menarik tangan Eddy dan membawanya keluar.

            “Awak, tolong hantar saya balik ke rumah. Saya tidak tahan dengan keadaan seperti ini.” Rayu Aisyah dengan keadaan muka yang membimbangkan.

            “Ok, ok. Saya bawa awak pulang selepas ini.” Balas Eddy namun dia tetap terus menari.

            “Awak, cepatlah!” rungut Aisyah.

            “Ok! Kita pergi sekarang, puas?” kata Eddy dengan nada agak tinggi. Aisyah membalas dengan muka yang masam sambil tanganya memeluk tubuh.

            Sepanjang perjalanan pulang, Aisyah hanya berdiam diri manakala Eddy pula sibuk menyayi dalam keadaan yang sudah mabuk. Sebelum sampai ke rumah Aisyah, Eddy menghentikan keretanya di sebuah taman berhampiran dengan rumah Aisyah. Aisyah menoleh ke arah Eddy dengan wajah kehairanan. Eddy membuka tali pinggang pemandu dan memusingkan posisinya ke arah Aisyah lalu tangan kananya membelai pipi Aisyah. Eddy mengeluarkan kata-kata maaf kepada Aisyah dengan ayat-ayat manis. Dengan perlahan-lahan, Eddy mula merapati Aisyah dan cuba untuk bercumbu dengannya. Pada masa yang sama tangan Eddy mengusap badan gadis yang bukan mahram buat dirinya. Bagaimanapun, tindakan tersebut tidak disenangi Aisyah. Dia terus menolak tubuh Eddy dengan sekuat hati. Aisyah segera membuka pintu kereta dan berlari pulang menuju ke rumahnya dengan jalan yang gelap gelita. Aisyah berasa seolah-olah tidak percaya dengan tindakan Eddy tadi. Rupa-rupanya selama ini Eddy hanya mahu mengambil kesempatan atas dirinya. Tangisan air mata membasahi pipi tanda penyesalan.

            Setibanya di rumah, Aisyah terus membuka pintu hadapan dan berlari menuju ke kamarnya. Ibu bapa Aisyah pelik dengan reaksi anaknya itu.

Aisyah sangat kecewa. Kalbunya seolah-olah dicucuk dengan duri yang disangka selama ini sebagai madu di kuntuman bunga. Namun, tubuhnya yang penat menyebabkan matanya tidak dapat lagi ditahan. Akhirnya Aisyah tertidur sambil membawa perasaan yang terluka.

**********

Rasulullah S.A.W. bersabda:-

“Setiap anak Adam melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang malakukan kesalahan adalah mereka yang bertaubat.” (Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi)

 

            Setelah diceritakan, Puan Khadijah tidak dapat menerima kenyataan apa yang telah terjadi terhadap anak kesayangannya itu. Sebelum ini, dia benar-benar percaya dan yakin bahawa Aisyah seorang yang solehah, mematuhi arahannya dan pandai menjaga maruah diri. Kasih sayang seorang ibu yang diberikan sebelum ini bagai menatang minyak yang penuh. Setiap hari pasti akan ada yang tergelak dengan reaksi seorang ibu dan anak-anaknya, secara tidak langsung menceriakan suasana di dalam rumah tersebut, namun segalanya telah berubah.

             Puan Khadijah kini menjadi lebih tegas terhadap anak-anaknya. Dia juga sering berpaling terhadap Aisyah. Hubungan mereka seolah-olah tidak seperti dulu lagi. Setelah peristiwa yang berlaku kepada Aisyah diketahuinya, Encik Ibrahim berasa sedikit marah terhadap anaknya itu tetapi dia bersyukur kepada Allah kerana tidak terjadi perkara yang lebih teruk dan memalukan terhadap Aisyah.

             Encik Ibrahim sudah berusaha memulihkan balik keadaan keluarganya namun isterinya tetap berdegil dan berkeras. Dapat dilihat ketika waktu makan, Encik Ibrahim cuba memulakan perbualan akan tetapi perbualanya itu tidak berlanjutan. Aisyah pula lebih banyak menghabiskan masa di dalam biliknya.

          Peristiwa itu, sangat susah untuk dilupakan sehinggalah tiba suatu masa Encik Ibrahim meminta Aisyah membelikan barang mentah di sebuah pasar raya yang berdekatan. Selepas Aisyah membayar barangan yang dibelinya itu, dia pun berlalu menuju ke pintu keluar pasar raya tersebut. Sebelum dia sampai ke pintu keluar, Aisyah sempat menoleh ke arah kedai buku yang berada di sebelah kirinya. Bagaikan ada satu tarikan yang menarik dirinya ke kedai tersebut apabila dia terpandang sebuah buku ilmiah yang bertajuk “Wanita Yang Terulung”. Aisyah mencapai buku itu dan diselaknya satu persatu. Kemudian dia terhenti di muka surat yang terawal buku tersebut lalu dibacanya.

            “Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatanya kejinya itu, sedang mereka mengetahui.” (Surah Al-Imran ayat 135).

            Selepas habis dibaca terjemahan ayat Al-Quran tersebut, titisan air mata berguguran. Fikirannya mengenangkan peristiwa hitam. Pada ketika itu datang seorang gadis bertudung labuh mendekati Aisyah dari arah belakang.

            “Boleh saya bantu saudari?”

            Apabila Aisyah menoleh sahaja ke wajah gadis itu, tiba-tiba gadis itu memeluk Aisyah serta merta.

            “Eh! Aisyah… Sudah lama kita tidak bertemu. Awak apa khabar?”

            Aisyah sempat mengelap air matanya sebelum menjawab pertanyaan tersebut.

            “Balqis. Kamu rupanya. Ya, alhamdulillah sihat. Awak kerja di sini sekarang?” Balas Aisyah dan mula mengukir senyuman.

            “Ya, ini kedai kakak saya. Jom kita masuk dalam, saya sediakan air untuk awak. Tadi saya perasan macam ternampak awak menangis, kenapa?”

            “Eh… tidak ada apa-apa. Maaflah, saya tidak dapat nak berbual panjang. Saya terpaksa pergi sekarang, nanti ayah saya tertanya-tanya. Serba salah pula saya rasa.”

            “Oh, tidak mengapalah kalau begitu. Ada masa senang datanglah ke sini, insyAllah saya ada di kedai ni. Rasanya lepas habis sekolah dulu kita tak pernah berjumpa lagi.”

         Aisyah hanya mengangguk dan terus beredar dari kedai buku tersebut. Balqis hanya mampu melihat reaksi Aisyah kehairanan. Terbit pelbagai soalan yang tidak mampu dijawabnya.

         Sedikit kegembiraan timbul dalam hati Aisyah apabila dapat bertemu dengan rakan akrabnya itu semasa di sekolah menengah. Memang tidak dinafikan, Balqis seorang srikandi yang lemah lembut dan bersopan-santun sejak daripada mula lagi mereka bertemu di sekolah.

            Tibanya Aisyah di rumah, Puan Khadijah sudah menunggunya di hadapan pintu sambil mencekak pinggang. Belum sempat Aisyah masuk ke dalam rumah dengan menjinjing barang-barang yang dibelinya di dalam beg plastik dia sudah ditanya dan dimarahi oleh ibunya itu.

            “Kamu pergi mana! Kenapa sampai lewat sangat? Nak makan tengahari pukul berapa? Kamu ingat ibu kamu ni orang gaji ke mahu tunggu kamu lama-lama!”

            Aisyah terpaku diam dan menundukkan kepalanya. Tudung merah jambu yang dipakainya kebasahan dengan linangan air mata. Aisyah menangis tersedu-sedu seolah-olah anak kecil dimarahi ibunya. Kesabarannya tidak dapat ditahan lagi. Dia menjatuhkan barangan yang dijinjingnya dan berlari dari rumah itu. Encik Ibrahim perasan kelakuan antara mereka berdua. Dia ternampak kelibat Aisyah yang sedang berlari keluar. Tanpa berlengah, Encik Ibrahim meluru keluar mendapatkan Aisyah. Puan Khadijah hanya mengendahkan kerisauan suaminya itu. Usaha Encik Ibrahim itu tidak berjaya kerana Aisyah sengaja menyembunyikan diri dari pandangan ayahnya. Akhirnya, Encik Ibrahim mengalah dan pulang semula ke rumah dengan hampa dan penat.

            “Ayah, ayah ada nampak Kak Aisyah? Dia pergi mana?” Tanya Fatimah terus mendapatkan ayahnya apabila ayahnya melangkah masuk ke dalam rumah.

            “Ayah tidak tahu, tapi nanti Kak Aisyah baliklah semula.” Jawab Encik Ibrahim ringkas.

            Encik Ibrahim juga kesal dengan tindakan isterinya itu. Sebagai suami, dia menegur tindakan yang dilakukan oleh isterinya itu yang dianggap tidak patut. Puan Khadijah hanya membuat reaksi seolah-oleh mengendahkan teguran tersebut. Ibu mana yang sanggup membiarkan anak yang dikandung dan dibesarkan hidup merempat begitu sahaja. Timbul rasa kerisaun terhadap anak gadisnya.

        Aisyah tersandar di dinding. Badannya agak keletihan. Tiada haluan, tiada tujuan dan tidak tahu apa yang perlu dilakukannya. Dipejamkan matanya sambil dipeluk erat kedua belah kaki merapati tubuhnya. Tiba-tiba wajah Balqis terbayang dalam fikirannya. Hatinya berbisik, adakah dia perlu meluahkan segala apa yang terjadi terhadap dirinya kepada Balqis? Mata yang terpejam itu, dibuka perlahan-lahan, merenung sebatang pohon yang rendang yang kukuh berdiri di sebelah kananya.

            “Aku perlu berjumpa Balqis.” Bisik hatinya.

            Aisyah tiba berdekatan dengan kedai buku, dia rasa acuh tidak acuh untuk berjumpa Balqis. Tambah pula, kelihatan Balqis sedang sibuk mengemas kedainya itu kerana hari sudah menjelang senja. Aisyah berubah fikiran. Dia berpaling daripada melihat Balqis, lalu berjalan keluar dari tempat tersebut. Tanpa disedari tubuhnya melanggar kotak-kotak yang berisi makanan ringan.

            “Adik! Tidak nampakkah saya sedang bawa banyak barang ini? Nasib baik barang ini tidak rosak. Kalau tidak saya dimarahi boss saya tau.” kata seorang warga Bagladesh dengan nada agak marah sambil menyusun semula beberapa kotak yang besar itu. Aisyah cuba menguatkan dirinya yang lesu itu bangkit namun kudratnya terbatas.

            “Saya minta maaf. Ini kawan saya. Dia tidak sengaja langgar barang-barang kamu.” Kata Balqis sambil membantu Aisyah membangunkan dirinya.

            “Ok, ok. Tidak mengapa. Kawan kamu, kawan saya jugalah.” Balas warga Bagladesh itu dengan senyuman hingga ke telinga kerana dia sudah mengenali Balqis yang turut sama bekerja di kawasan itu.

            Balqis melihat keadaan Aisyah agak bercelaruan dan kusut masai. Lalu Balqis mengambil keputusan untuk membawa Aisyah pulang ke rumahnya yang terletak berhampiran dengan tempat tersebut. Keadaan Aisyah yang dihimpit dengan kepahitan dan luka yang baru sahaja diterimanya menyebabkan dia akur akan keputusan yang dibuat Balqis.

            Tiga hari berturut-turut Aisyah demam dan sekarang keadaannya hampir pulih walaupun masih kelihatan tanda-tanda tidak sihat. Balqis sudah tahu peristiwa yang dialami Aisyah dan dia berasa terkejut dan cuba menasihati Aisyah dengan sebaiknya. Balqis terpaksa curi-curi mendapatkan nombor telefon Encik Ibrahim dari telefon bimbit Aisyah ketika rakannya itu sedang sakit. Encik Ibrahim berasa lega apabila mendapat pengkhabaran bahawa Aisyah selamat dengan orang yang dikenalinya. Bagaimanapun, Balqis mencadangkan supaya Aisyah tingggal beberapa hari bersamanya bagi meredakan keadaan.

            Sepanjang bersama Balqis, Aisyah banyak mendapatkan nasihat dan pandangan dari rakannya itu.

            “Balqis, jika saya bertaubat kepada Allah, adakah Allah akan mengampunkan dosa saya? Peristiwa pada malam itu yang sangat menakutkan saya. Adakah ini semua terjadi sebab saya tiada niat untuk berhijrah di bulan ini?”

            “Aisyah. Hijrah itu bukannya bermaksud kita akan menyambut sirah nabawi yang menceritakan tentang peristiwa hijrah Rasulullah semata-mata tetapi untuk kita ambil iktibar daripada pengorbanan para sahabat yang sanggup berkorban kerana mahu berhijrah bersama Rasulullah. Bertaubatlah dan berhijrah daripada perkara buruk kepada yang baik. Itulah konsep hijrah sebenar. Sungguh Allah sentiasa menerima amalan orang yang bertaubat kepadaNya dan mengampuni dosa-dosa hambanya.” Jelas Balqis dengan niat untuk membimbing rakannya.

            Hari silih berganti, kesihatan Aisyah kembali pulih. Aisyah sedar akan kesilapan yang dilakukan. Sejak itu, Aisyah bertaubat kepada Allah dan mula mencari erti sebuah kehidupan yang sebenar. Kesempatan bersama dengan Balqis, Aisyah gunakan dengan sebaiknya. Aisyah mempelajari dan mendalami ilmu agama dengan istiqamah. Hijrah yang difahaminya dapat diaplikasikan dengan sebaiknya. Tatkala dihadiahkan sebuah kitab, hatinya tersentuh lalu dia memegang, mencium dan memeluk Kalammullah itu kerana ilmu yang dipelajarinya mengenai cara bacaan telah lama ditinggalkan dan tidak diamalkan. Seolah-olah sahabat akrab yang telah lama tidak berjumpa.

            “Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.”

            Ayat pertama di dalam kitab yang mulia ini memberikan satu aura buat Aisyah. Dia tekad mahu membaca, menghayati dan mengamalkan risalah dan yang telah dikirimkan oleh Sang Pencipta kepada hamba-hambanya.

            Hari demi hari, Aisyah mempelajari sesuatu daripada Balqis. Aisyah sempat berkenalan dengan rakan-rakan Balqis yang hebat dan mahir dalam ilmu agama. Di situ, Aisyah peroleh buah fikiran dan dapat berkongsi pengetahuan hasil dari muzakarah antara mereka.

            Selepas menunaikan solat asar, Aisyah duduk di beranda menenangkan fikiranya sambil merasai nikmat ciptaan Ilahi. Angin sepoi-sepoi meniup dan membelai mukanya yang ayu. Tudung labuh hijau muda yang dipakainya seloah-olah menggambarkan perasaannya sekarang.

            “Jauh betul kamu termenung, Dah sampai mana? Siapalah agaknya teruna yang dibayangkan?” Usik Balqis yang datang dari belakang Aisyah lalu melabuhkan punggungnya di sebelah ruangan kedudukan Aisyah.

            “Siapa lagi kalau bukan pemuda syurga.” Jawabnya spontan. Kedua-duanya tergelak. Kemudian mereka senyap seketika.

            “Sebenarnya, saya teringat dekat keluarga saya sejak dua menjak ni. Tiba-tiba asyik teringat kenangan dengan ayah, adik dan…”

            Belum sempat Aisyah menghabiskan katanya, air mata sudah menitis ke tudungnya. Namun dia cuba menahan perasaan dan mengawal emosinya terhadap rakan karibnya itu.

            Balqis membelai Aisyah dan cuba menangkan dengan nasihat dan kata-kata semangat.

            “Allah tidak akan menguji kita jika kita tak mampu menaggungnya. Bersabarlah Aisyah, pastinya Allah sangat menyukai hamba-hambanya yang bersabar. Allah juga sudah berjanji pada kita, setiap kesulitan pasti ada kesenangan. Perbanyakan berdoa kepada Allah.”

            “Terima kasih, Balqis. Semoga Allah membalas jasa-jasa kamu.”

            Sejak dari itu, Aisyah lebih banyak menghabiskan masa beramal dan mendekatkan diri kepada Allah. Dia yakin bahawa cinta Allah adalah cinta abadi dan kepadanyalah seseorang muslim itu bertawakal. Setiap kali selepas solat, Aisyah cuba membaca Al-quran bersama terjemahannya supaya dia dapat memahami kandungannya.

             Sejurus selepas itu, Aisyah mencapai sebuah buku bertajuk “Wanita Yang Terulung” bagi mengisi masa yang terluang. Hatinya sangat tertarik dengan kisah seorang srikandi yang sangat tawadu’ sehinggakan seorang tabi’in yang terkenal iaitu Hassan Al-Basri datang bertemunya dan meminta pendapat beliau. Wanita yang diceritakan ialah Rabiatul Adawiyah. Cintanya kepada Allah begitu tinggi sehinggakan sanggup meninggalkan habuan keindahan duniawi. Aisyah meneruskan pembacaan sehinggalah dia terhenti dalam satu petikan yang tidak mampu diteruskan. Doa Rabiatul Adawiyah sungguh menyentuh hatinya.

            “Wahai tuhanku, malam yang akan pergi, siang pula akan berganti. Wahai malangnya diri, apakah Engkau akan menerima malamku ini supaya aku berasa bahagia ataupun Engkau akan menolaknya maka aku diberikan takziah? Demi kemuliaanMu, jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau menghidupkan aku dan bantulah aku di atasnya. Demi kemuliaanMu, jika Engkau menghalauku dari pintuMu itu, nescaya aku akan tetap tidak bergerak juga dari situ disebabkan hatiku sangat cinta padaMu.”

********

“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Innaa lillahi wa innaa ilaihi raaji’uun”. Mereka itulah yang mendapatkan keberkatan yang sempurna dan rahmat dari tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.”

(Surah Al-Baqarah ayat 155-157)

 

            Kerja yang banyak terkendala di pejabat menyebabkan Puan Khadijah sedikit lewat pulang ke rumah pada masa itu. Puan Khadijah memberhentikan kereta yang dipandunya ke sebuah Masjid untuk menunaikan solat Maghrib kerana takut-takut akan terlepas waktu solat yang agak singkat itu. Selepas menunaikan kewajipan sebagai seorang muslimat, Puan Khadijah menukar telekung yang dipakainya dengan tudung di hadapan sebuah cermin. Selain dia melihat dirinya di cermin itu, Puan Khadijah ternampak sekumpulan kanak-kanak perempuan yang sedang mengeja satu persatu huruf-huruf Al-Quran bersama seorang ustazah yang menghadap kanak-kanak tersebut.

      “Alangkah indahnya jika aku berkesempatan belajar membaca Al-Quran dengan bacaan sehebat ustazah kepada kanak-kanak itu dan mengajarkan kepada anak-anak aku pula.” Bisik hatinya.

            “Baiklah adik-adik, cukuplah untuk hari ini. Kita sambung esok. Jumpa lagi.”

            “Terima kasih, ustazah.”

             “Sama-sama”

            Sejurus selepas itu, Puan Khadijah cuba mendekati ustazah berkenaan dari belakang. Langkahnya terhenti apabila dia melihat wajah ustazah itu dari pandangan sisi. Lantas, Puan Khadijah berpatah balik dan mempercepatkan langkahnya ke kenderaanya. Selepas menutup pintu kereta tersebut diletakkan kepalanya di atas steering.

            “Ya Allah, tidakku sangka anak aku rupanya. Aku bersyukur kepada Engkau Ya Allah kerana Engkau memberikan aku kesempatan melihat wajahnya walaupun seketika. Aku malu untuk berhadapan dengannya. Engkau selamatkanlah Aisyah daripada bahaya dunia dan akhirat.”

        Aisyah melalui kawasan berkenaan. Secara tidak sengaja dia terpandang sebuah kereta yang amat dikenalinya itu. Dia cuba menghampirinya namun Balqis telah memberhentikan langkah tersebut.

            “Aisyah, puas saya cari kamu. Jomlah kita balik. Saya ada hal lepas ni takut lambat pula.” Sapa Balqis sambil memegang bahu Aisyah.

            Aisyah dan Balqis berlalu dari kawasan itu. Pelbagai persoalan timbul dalam fikiran Aisyah. Dia mula merindui keluarganya. Apakah nasib dirinya selepas ini?

            Kerinduan pada keluarga semakin menebal dalam diri Aisyah. Ungkapan kerinduan bagaikan satu penantian yang sangat bermakna dalam hidupnya sehinggakan Aisyah telah jatuh sakit. Semakin hari, keadaanya semakin teruk. Balqis sudah berulang kali memujuk Aisyah untuk pergi ke hospital namun ajakannya hanyalah sia-sia belaka. Bagi Aisyah sakitnya ini adalah satu kifarah dosa buat dirinya. Dia reda dengan apa yang dihadapinya sekarang. Balqis yakin bahawa penawar yang terbaik untuk Aisyah ialah bertemu dengan keluarganya. Dia harus melakukan sesuatu.

            Pada suatu hari, Aisyah telah pengsan ketika sedang sibuk membantu Balqis di kedai. Balqis yang sedar dengan keadaan tersebut bergegas membawa rakannya itu ke hospital dengan menaiki kereta miliknya dan doctor menempatkan Aisyah bilik ICU. Doktor mengesahkan bahawa Aisyah menghadapi demam denggi. Tanpa membuang masa Balqis menghubungi Encik Ibrahim.

********

Diriwayatkan dari Ibn Umar, beliau berkata. Rasulullah S.A.W. bersabda:

Seorang muslim itu adalah saudara muslim yang lain. Oleh sebab itu, jangan menzalimi dan meremehkannya dan jangan pula menyakitinya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

 

            Mengemas rumah merupakan aktiviti harian Puan Khadijah. Tambahan pula, dia seorang yang mengutamakan kebersihan kerana kebersihan itu lambang identiti seseorang. Ketika Puan Khadijah sedang mengelap meja tiba-tiba dia terpandang sebuah potret yang memberikan makna besar dalam hidupnya lalu dipegang dan ditatapnya dengan penuh rasa kasih sayang.

            “Khadijah, mari kita ke hospital sekarang. Aisyah sedang sakit di bilik ICU. Pastikan awak kunci rumah dan abang tunggu awak di dalam kereta.” Kata Encik Ibrahim bergegas mendapatkan isterinya dan sempat mencapai kunci kereta.

            “Buat apa saya ke sana? Aisyah sudah tiada kena-mengena dengan kita lagi!” balas Puan Khadijah.

            “Apa yang awak katakan ni? Takkanlah sampai dia sakit, awak pun masih nak marah pada dia. Abang tidak pernah mengajar isteri dan keluarga abang untuk bersikap dendam terhadap orang lain inikan pula anak sendiri.”

            Puan Khadijah hanya menundukkan kepalanya tatkala sedang ditegur oleh suaminya itu. Seorang isteri semestinya taat kepada suami seperti mana Saidatina Khadijah yang sentiasa taat kepada Rasulullah malah tidak pernah meninggikan suara pada kekasih Allah itu.

            “Awak sebagai seorang ibu, sudah pasti awak akan risau apabila berlakunya sesuatu yang tidak baik terhadap anak-anak awak. Saya tahu, awak pasti rindukan dia. Dekat tangan awak pun sekarang awak sedang memegang gambar dia.” Kata Encik Ibrahim lagi.

            “Ibu. Jomlah kita pergi jumpa Kak Aisyah. Jomlah.” Rayu Fatimah dengan nada yang sayup sambil menarik-narik tangan ibunya.

            Puan Khadijah pasrah. Dia memenuhi kehendak dua insan yang disayangi dihadapannya.

            Encik Ibrahim dan keluarganya tiba di hospital. Dia terus menemui Balqis yang berada di hadapan bilik rawatan dan mendapatkan penjelasan daripadanya. Sekarang Aisyah masih dalam keadaan koma dan memerlukan rawatan.

              Hanya Allah yang maha menentukan akan takdir seseorang. Tiba-tiba, nafas Aisyah tidak menentu. Dia tercungap-cungap seolah-olah sedang ditarik nyawanya. Melihat keadaan itu, Puan Khadijah mendahului yang lain mendapatkan Aisyah. Puan Khadijah menggengam erat tangan anaknya itu.

              “Aisyah! jangan pergi tinggalkan ibu. Ibu sayang Aisyah. Aisyah! Aisyah…”

             Doktor dan jururawat cuba memeriksa keadaan Aisyah yang tidak stabil itu. Adakah sehingga di sini sahaja pengakhiran kehidupan Aisyah?

**********

“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat).”

(Surah al-Mulk ayat 2)

 

            Sang mentari memancarkan cahayanya di hamparan bumi. Keindahan flora dan fauna sangat tidak ternilai menghiasi warna-warni persekitaran bumi. Keadaan di dalam hutan sangat sejuk walaupun matahari sudah di atas kepala. Peluh tidak berhenti berjijihan.

            “Allahu akbar! Ibu dah penat ni. Boleh berhenti sekejap tak? Tinggi juga Bukit Broga ni.” Jelas Puan Khadijah yang memegang sebatang kayu sambil termengah-mengah. Encik Ibrahim yang berada di sisinya cuba untuk membantu isterinya itu.

            “Ibu. Sedikit sahaja lagi dah nak sampai ni. Cuba tengok adik, tak berhenti melangkah.” Balas Aisyah sambil menarik tudung adiknya ketika dia sedang bersusah payah mendaki bukit tersebut.

            “Hei… Sakitlah!” Marah Fatimah sambil menepuk tangan kakaknya itu.

            Puan Khadijah hanya senyum melihat gelagat dua orang anaknya itu. Baginya itulah permata dan intan yang tidak ternilai buat dirinya. Encik Ibrahim dan Puan Khadijah bersyukur kerana Allah masih memberi peluang pada diri mereka untuk bersama-sama dengan Aisyah buat sekali lagi. Pengajaran yang lepas dapat memberikan pengalaman dan tunjuk ajar kepada diri mereka.

            “Balqis. Cepat ambil gambar kami sekeluarga. Mentang-mentang kamu sudah sampai dulu di atas puncak bukit ni, kamu berehat senang-lenang, ya.” Kata Aisyah dengan nada sindiran.

            “Ok, ok. Semua kumpul. Saya ambil gambar sekarang. 123…” Balas Balqis sambil menangkap gambar menggunakan kemeranya itu.

            Aisyah merenung satu persatu raut wajah keluarganya. Dia sangat bersyukur kepada Allah atas peluang kedua yang diberikan dalam hidupnya bersama kembali dengan keluarga tercinta. Dirinya telah sembuh sepenuhnya dari penyakit yang dihidapi sebelum ini. Kali ini tidak sama seperti yang dulu. Kehidupannya lebih banyak dihabiskan untuk agama dan juga keluarganya.

            Soal jodoh, biar Allah yang menentukan jejaka terbaik buat dirinya. Aisyah sedar, mesej cinta dari pasangan yang belum berkahwin hanyalah sia-sia yang boleh menimbul dosa. Tiada mesej yang terindah melainkan dari Allah yang berupa al-Quran menjadi pedoman buat seluruh manusia.

Tamat

Karya Yusre Zulhamize Zainuddin

Ketua Biro Media Massa PEMBINA Bangi

Related Posts

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 

Jom Sertai PEMBINA

Artikel terbaru

  • Promosi Konvokesyen Dengan Cara Tarian Bukan Ciri Mahasiswa

    Bulan Oktober dan November menjadi saat yang menggembirakan bagi mahasiswa yang bergraduan setelah berjaya menamatkan pembelajarannya di universiti. Majlis konvokesyen bertambah meriah dengan beberapa aktiviti, pameran dan jualan yang diadakan serta penglibatan para pensyarah, keluarga dan saudara mara. Namun, adakah aktiviti seperti tarian yang diadakan oleh mahasiswa di Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini sesuai…

  • 4 Mac Hilangnya Seorang Wira Islam, Palestin

    TANGGAL 4 Mac 1193 umat Islam telah kehilangan seorang pemerintah, ketua angkatan tentera yang telah melakar sejarah besar buat umat Islam. Salahuddin Al Ayubi nama yang tidak asing bagi umat Islam yang terkenal sebagai Sang Penakluk. Kata-katanya pernah dirakamkan sebagai tunjang kepada kebangkitan semangat umat Islam untuk berjihad. Umurnya mencecah 14 tahun, beliau telah menjadi…

  • Jangan Kau Lupa Peristiwa Hitam 3 Mac 1924!

    Sudah 94 tahun berlalu peristiwa hitam yang memberi luka yang dalam buat umat Islam. Detik bersejarah ini telah merakam pengakhiran bagi sistem khalifah yang sudah berdiri teguh sejah sekian lama. Sultan Abdul Hamid II merupakan khalifah yang kuat menahan empayar Turki yang hendak dirakus oleh dunia Eropah ketika itu telahpun digulingkan. Dalang yang mengkucar-kacirkan Empayar…

Ini Wilayah PEMBINA

Ikuti Pembinabangi

Anda semua dijemput untuk melawat laman facebook, twitter, flickr dan youtube pembinabangi untuk mengikuti perkembangan terbaru dan lebih lanjut maklumat tentang kami.

isikan alamat emel anda untuk sentiasa mengikuti perkembangan Pembina Bangi